Anda di sini

Kerja membaik pulih cerun rosak sudah bermula

Advertisement
 (Dari kanan) Lee dan Chong menunjukkan spesifikasi kerja membaik pulih cerun di Bukit Kanada, Miri semalam.
PANTAU: (Dari kanan) Lee dan Chong menunjukkan spesifikasi kerja membaik pulih cerun di Bukit Kanada, Miri semalam.

MIRI: Kerja membaik pulih cerun yang rosak disebabkan tanah runtuh di Bukit Kanada bernilai RM1.44 juta sudah bermula dan dijangka siap pertengahan Februari 2020.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata projek tersebut dibiayai Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia menggunakan kaedah khas yang direka bentuk Bahagian Kejuruteraan JKR.

“Kita banyak menerima aduan daripada orang awam dan pengguna jalan raya di situ yang bimbang akan risiko tanah runtuh.

“Justeru, teknik membaik pulih kali ini adalah penyelesaian berkekalan terhadap masalah hakisan tanah.

“Sejak kejadian tanah runtuh pada 2017, penduduk dan pengguna di sini bimbang insiden itu berulang terutama pada musim hujan.

“Justeru, kita memberi keutamaan terhadap projek ini,” katanya semasa melawat tapak baik pulih cerun di Bukit Kanada di sini semalam.

Lee berkata, projek membaik pulih lokasi terjejas itu memerlukan kerja pemasangan cerucuk berkedalaman kira-kira 11 meter bertujuan menstabilkan struktur geoteknikal di kawasan terbabit.

Dalam perkembangan lain, Lee memberitahu bahawa beliau akan memohon peruntukan daripada  kerajaan negeri untuk membaiki jalan rosak dari Jambatan ASEAN ke simpang jalan Kuala Baram.

“Jalan ini sebenarnya di bawah projek Pan Borneo namun kita akan memohon dan menggunakan duit Kerajaan Sarawak untuk membaikinya,” katanya.

Lee menambah, projek itu dianggarkan menelan kos sejumlah RM3.5 juta meliputi kerja mengorek dan menurap semula laluan rosak itu.

Hadir sama Jurutera Bahagian JKR Miri Chong Chi Fam.

  • oleh
  • Advertisement