Anda di sini

Kemiskinan tidak halang cipta kejayaan

Advertisement
 Graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian, Wan Alif Asyraf Wan Nor Rudin (kanan) dan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) Mohd Aswan Mohd Amin menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-11 semalam. — Gambar Bernama
CEMERLANG: Graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian, Wan Alif Asyraf Wan Nor Rudin (kanan) dan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) Mohd Aswan Mohd Amin menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-11 semalam. — Gambar Bernama

KUALA NERUS: Kemiskinan dan masalah perpisahan ibu bapa tidak menjadi halangan buat seorang graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), untuk cemerlang dalam pelajaran.

Sebaliknya kekurangan tersebut mendorong Mohd Aswan Mohd Amin, 24, untuk terus bekerja keras, demi menggenggam segulung ijazah sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Pelajaran Diraja, pada Majlis Idul Ilmi (Konvokesyen) UniSZA Kali Ke-11 di sini, semalam.

Berkongsi kisah hidupnya, Mohd Aswan yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) berkata beliau berasal daripada keluarga yang susah, dengan bilangan adik-beradik yang agak ramai iaitu sembilan orang.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan perpisahan kedua-dua ibu bapanya ketika beliau berusia 11 tahun, yang bukan sahaja memberi kesan kepada keadaan ekonomi keluarga, malah mengganggu ketenangan emosinya.

“Selepas ditinggalkan ayah, ibu terpaksa menebalkan muka meminjam wang daripada saudara mara dan menjual semua barang kemas, bagi memastikan kami sembilan beradik tidak kelaparan.

“Pernah saya terjaga di waktu malam melihat ibu duduk di sejadah menadah tangan kepada Allah, sambil menangis mengadu tentang kesusahannya tetapi tidak pernah ditunjukkan kesedihan itu di depan anak-anaknya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Idul Ilmi (Konvokesyen) Kali Ke-11 UniSZA di Dewan Muktafi Billah Shah, di sini, semalam.

Menurut Mohd Aswan, beliau amat bersyukur kerana segala penderitaan ibunya berakhir, selepas berjaya menjawat jawatan sebagai Pegawai Dakwah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, selepas tamat pengajian di UniSZA April lalu.

“Kejayaan saya hari ini juga turut disokong oleh keluarga sebelah bapa, yang membantu dari segi kewangan, kerana ibu tidak bekerja.

“Tidak dilupakan kepada ibu angkat, Siti Salwa Ahmad yang merupakan guru saya ketika di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, kerana bersusah payah membiayai sepenuhnya pengajian saya semasa di tingkatan enam dan tahun pertama di UniSZA,” katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sebanyak 3.75.

Sementara itu bagi penerima Ijazah Aegrotat, Nur Husna Md Lazim, 28, beliau amat bersyukur kerana dapat menerima sendiri Ijazah Sarjana Muda Dietatik, walaupun dalam keadaan berkerusi roda.

Nur Husna berkata sejak disahkan menghidap penyakit kegagalan buah pinggang peringkat akhir pada 2009, kesihatannya tidak menentu dan terpaksa berulang-alik ke hospital, bagi menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

“Pada 2009 saya telah mendapat tawaran biasiswa bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ke Jepun dalam bidang farmasi, tetapi terpaksa ditolak kerana masalah kesihatan.

“Ketika belajar di UniSZA  saya terpaksa menahan kesakitan memandu sendiri ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tiga kali seminggu untuk menjalani rawatan, memandangkan keluarga semuanya di Pulau Pinang,” katanya yang memperoleh CGPA 3.37.

Nur Husna berkata kesihatannya semakin merosot sehingga tidak dapat bangun dan berjalan, ketika beliau menjalani latihan praktikal di Hospital Pulau Pinang, pada Februari tahun ini.

Untuk rekod, Nur Husna dianugerahkan Ijazah Aegrotat kerana tidak dapat menghabiskan tempoh empat tahun pengajian disebabkan masalah kesihatan, tetapi telah berjaya mencapai sekurang-kurangnya 75 peratus daripada jumlah kredit bergraduat, bagi program pengajian yang diikuti untuk dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda. — Bernama

Advertisement