Anda di sini

Jawatankuasa Pengurusan Dana Wakaf melibatkan UNIMAS, TBS akan ditubuh

Advertisement
 Abang Shibli bertukar dokumen perjanjian persefahaman dengan Kadim sambil disaksi Misnu, Putit dan tetamu kehormat lain.
KERJASAMA: Abang Shibli bertukar dokumen perjanjian persefahaman dengan Kadim sambil disaksi Misnu, Putit dan tetamu kehormat lain.

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Dana Wakaf yang melibatkan pihak Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) akan ditubuhkan.

Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan berikutan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara UNIMAS dan TBS bagi kerjasama strategik pengurusan dana wakaf untuk tujuan pembinaan fasiliti Dewan Peperiksaan, Pusat Pembangunan dan Khidmat Teknologi Maklumat dan Masjid Kampus Timur.

“Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab dalam pengurusan kutipan dan penggunaan dana wakaf mengikut terma dan syarat yang telah termaktub dalam memorandum persefahaman ini, selari dengan peruntukan kaedah-kaedah Pentadbiran Wakaf Majlis Islam Sarawak 2018 di mana wakaf yang diwujudkan perlu didaftar dengan TBS, selaku pendaftar wakaf yang dilantik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU di Dewan Saidina Umar Ibnu Khattab, Ibu Pejabat TBS, Batu Kawa di sini semalam.

MoU itu ditandatangani Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohammad Shibli Abang Mohd Nailie dan Kadim serta disaksikan Yang Dipertua Majlis Islam  Sarawak Datu Misnu Taha dan Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf Datu Putit Matzen.

Dalam pada itu, Kadim berkata pembinaan bangunan dan masjid itu, melalui kutipan dana wakaf dengan anggaran kos projek berjumlah RM19 juta merupakan kerjasama pertama diadakan antara UNIMAS dan TBS.

Jelasnya, projek yang dimulakan sejak Januari 2018 sehingga kini telah berjaya mengumpul derma sebanyak hampir RM7 juta derma wakaf daripada warga UNIMAS, individu dan sumbangan pihak korporat.

“Lokasi penubuhan ketiga-tiga projek tersebut terletak di Kampus UNIMAS, Kota Samarahan.

“Sehubungan itu, sokongan berterusan daripada semua masyarakat dalam menyumbang melalui wakaf tunai ini amatlah diharapkan bagi merealisasikan pembinaan ketiga-tiga kemudahan ini di UNIMAS kelak,” jelasnya.

Sementara itu, Abang Shibli dalam ucapannya berkata, penganjuran wakaf seperti ini selari dengan peranan TBS sebagai satu-satunya pihak yang berautoriti menguruskan hal ehwal wakaf.

Selain itu katanya, TBS juga bertanggungjawab dalam memastikan pelaksanaan wakaf berkembang dan sentiasa relevan dengan keperluan masyarakat Islam di Sarawak.

“Oleh yang demikian, UNIMAS telah mengambil peluang ini untuk dimanfaatkan kepada masyarakat bagi mewujudkan fasiliti tersebut.

“Sokongan berterusan daripada semua masyarakat dalam menyumbang melalui wakaf tunai amat diharapkan bagi merealisasikan pembinaan ketiga-tiga fasiliti tersebut.

“Objektif utama mewujudkan wakaf fasiliti tersebut adalah untuk kemaslahatan ummah dan memberi manfaat kepada pengguna,” tambah beliau.

Sumbangan untuk projek wakaf UNIMAS secara atas talian boleh dibuat ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad: 11040010031644 (Universiti Malaysia Sarawak) atau hubungi Bahagian Endowmen dan Wakaf UNIMAS di talian 082 581918/582792/ e-mel: [email protected] untuk bantuan selanjutnya.

Sebelum ini, TBS juga telah menandatangani MoU bersama Universiti Teknologi MARA (UITM) Cawangan Sarawak bagi kerjasama strategik untuk mengurus dana wakaf bagi tujuan penubuhan pertama Makmal Analisis Halal di Sarawak.  

Selain itu, kerjasama bersama RHB Islamic Bank bagi menyediakan dana kutipan Dana Wakaf Al-Bait menerusi aplikasi QR Code Boost, Jom Pay dan Perbankan Internet untuk memudahkan pewakaf menyumbang secara atas talian.

Advertisement