Anda di sini

Ibu sumber inspirasi untuk lakukan kerja amal: Herman

Advertisement
 Herman (empat dari kiri) menerima hadiah  RM5,000 serta trofi dan  sijil penghargaan daripada  tetamu kehormat, isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada majlis Anugerah My Hero 3.0 yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
TAHNIAH: Herman (empat dari kiri) menerima hadiah  RM5,000 serta trofi dan  sijil penghargaan daripada  tetamu kehormat, isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada majlis Anugerah My Hero 3.0 yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: “Ibu merupakan inspirasi saya setiap kali membuat kerja-kerja amal kerana walaupun sudah berumur 60 tahun, beliau tetap aktif dalam melakukan aktiviti-aktiviti sukarelawan,” kata Md. Herman Saidin, 38, Pengerusi Persatuan Bagi Orang-Orang Istimewa Labuan yang telah dinobatkan sebagai salah seorang pemenang Anugerah My Hero 3.0, baru-baru ini.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Herman berkata, sejak kecil lagi, beliau sering menemani ibunya, Fatimah Yahya menghadiri program-program sukarelawan.

“Ibu saya sudah berkhidmat selama 25 tahun dalam aktiviti sukarelawan dan juga merupakan penyelia bagi persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Labuan.

“Kesabaran dan ketabahan beliau dalam membimbing serta mengajar anak-anak orang kelainan upaya (OKU) membuatkan saya kagum sekali gus mendorong saya untuk menjadi seperti beliau.

“Saya berasa puas kerana dapat berbakti kepada masyarakat yang sentiasa memerlukan. Saya sedar yang saya tidak dapat membantu mereka dari segi kewangan tapi punya tenaga untuk membantu mereka,” katanya pada wartawan Utusan Borneo.

Walaupun turut mengalami masalah OKU pendengaran, namun ia bukan penghalang kepada Herman untuk menjadi tutor bahasa isyarat pertama dan tunggal di Labuan.

“Saya sendiri pekak OKU, tetapi saya ingin membantu anak-anak OKU pekak di Labuan dengan mengajar mereka bahasa isyarat supaya lebih mudah untuk mereka berkomunikasi, mendapatkan pendidikan yang sewajarnya dan mencari kerja.

“Sehubungan itu, selepas tamat sekolah menengah, saya mula bergiat aktif dalam persatuan untuk membantu rakan-rakan OKU yang lain untuk mengajar bahasa isyarat dan pada 2005, saya tekad meneruskan pembelajaran yang lebih mendalam mengenai bahasa isyarat di Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

“Ibu saya juga banyak memberikan galakan untuk membantu rakan-rakan senasib seperti kami. Pada masa sama, saya mahu melihat anak–anak pekak di Labuan mendapatkan pendidikan yang sama dengan rakan-rakan di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Tambah beliau lagi, seharusnya sebagai seorang OKU haruslah yakin dengan diri sendiri dan fokus pada matlamat hidup.

“Walaupun kita ini OKU, jangan anggap kecacatan diri kita ini sebagai penghalang bagi melakukan sesuatu perkara. Jangan tengok kelemahan diri, tapi yakin dengan sumbangan yang kita boleh buat untuk negara dan masyarakat sekeliling.

“Selama 28 tahun saya menjadi tutor bahasa isyarat, saya telah membimbing seramai 18 OKU pekak, 20 murid bermasalah pembelajaran dan sembilan kanak-kanak austime.

“Kesemuanya dibantu melalui Persatuan Bagi Orang Istimewa Labuan dan Persatuan Orang Pekak Labuan. Saya berasa gembira kerana ada di antara mereka ini sudah bekerja dan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” jelas beliau.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu turut  terharu dengan Anugerah My Hero 3.0 yang diterimanya kerana beliau tidak menyangka akan diberi penghormatan berkenaan, apatah lagi dilantik menjadi Duta Perpaduan Nasional oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

“Saya rasa bersyukur kepada Tuhan kerana terpilih menjadi salah seorang penerima anugerah ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada individu yang telah mencalonkan saya dan melihat hasil kerja saya selama ini,” katanya.

Mendapat pendidikan di Cybernetics International College Of Technology dalam bidang Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Herman kini aktif menjalankan kerja-kerja sukarelawan fokus pada keperluan anak-anak OKU Labuan.

Anugerah My Hero merupakan program kerjasama antara Kuala Lumpur and Selangor Chinese Chamber Industri (KLSCCCI) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dalam usaha mengiktiraf dan menghargai individu-individu yang telah banyak berkorban dan berjasa dalam usaha meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Akhbar Utusan Borneo, See Hua Daily News, The Borneo Post, Orizon, Sinar Harian, The Sun dan Tamil Malar merupakan rakan media rasmi untuk anugerah Anugerah My Hero 3.0.

  • oleh
  • Advertisement