Anda di sini

Guru kreatif, inovatif lahir pelajar cemerlang

Advertisement
APA KHABAR?: Harden bersalaman dengan pelajar yang hadir pada program berkenaan.
APA KHABAR?: Harden bersalaman dengan pelajar yang hadir pada program berkenaan.

SRI AMAN: Guru kreatif dan inovatif mampu melahirkan generasi pelajar cemerlang sejajar dengan wawasan negara.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis berkata, guru yang memiliki dua ciri terbabit sememangnya sentiasa memikirkan pembaharuan yang dapat membawa perubahan dalam sistem pengajaran mereka.

“Oleh itu, kita menyeru para pendidik di daerah ini agar mengubah cara pengajaran yang dahulu kepada yang lebih kreatif dan inovatif dalam proses pengajaran mereka.

“Cara yang kreatif dan inovatif secara tidak langsung dapat menarik minat para pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Advokasi Pendidikan Sosial Siri 1/2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili dekat sini.

Menurutnya, guru seharusnya bijak membawa perubahan kepada suasana pengajaran mereka dengan lebih kondusif agar setiap pengajaran yang dicurahkan sampai kepada sasaran.

“Ini penting kerana para pelajar akan menunjukkan minat mereka untuk mempelajari sesuatu mata pelajaran sekiranya cara penyampaian guru mereka mengikut peredaran zaman,” jelasnya.

Dalam pada itu, Harden turut menyeru para ibu bapa agar mengutamakan pendidikan anak-anak kerana mereka merupakan bakal pemimpin serta aset penting untuk bersama-sama membangunkan negara ini.

“Kita sebagai ibu bapa jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab kita menghantar anak-anak ke sekolah bagi menimba ilmu sebanyak mungkin kerana pada zaman sekarang ilmu pengetahuan amat penting.

“Jangan pula kita menganggap menghantar anak-anak ke sekolah suatu perkara yang membebankan,” katanya.

Tambahnya, kemiskinan juga bukan lagi alasan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah.

“Malah sudah ramai golongan miskin yang menghantar anak-anak ke peringkat pendidikan tertinggi, malah mengecapi kejayaan di menara gading.   

“Saya percaya, ramai ibu bapa kini telah sedar akan peranan mereka untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerana mereka (ibu bapa) tahu bahawa ilmu pengetahuan sahaja dapat mengubah corak kehidupan kita,”katanya.

Menyentuh mengenai pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Harden berkata golongan pelajar hari ini perlu melengkapkan diri dengan ilmu ICT kerana ia amat penting terutaman ketika bersaing mencari pekerjaan.

“Ibu bapa turut memainkan peranan menggalakkan anak-anak mempelajari ICT. Sekiranya anak-anak kita tidak mahir ICT, sukar untuk mereka bersaing dengan belia lain ketika mencari pekerjaan kelak,” jelas Harden lagi.

Turut hadir Residen Bahagian Sri Aman Indit Bangai, Pengetua SMK Engkilili Dickson Palot Malintan, wakil Pegawai Daerah Lubok Antu Ignatius Ayai Dom, wakil Setiausaha Majlis Daerah Lubok Antu Audrey Chimbi serta yang lain.

Dalam pada itu, program berkenaan turut dimeriahkan dengan ceramah daripada MPS, Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak Kanak (KWKPK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi terpilih yang lain.

  • oleh
  • Advertisement