Anda di sini

Gauff sentak Ostapenko, julang trofi sulung di Linz

Advertisement
  Gauff memberikan ‘pose’ istimewa bersama trofi ketika merikan kejayaan memenangi kejuaraan WTA yang pertama dalam kariernya di Linz, Austria kelmarin. — Gambar AFP
DETIK BERSEJARAH: Gauff memberikan ‘pose’ istimewa bersama trofi ketika merikan kejayaan memenangi kejuaraan WTA yang pertama dalam kariernya di Linz, Austria kelmarin. — Gambar AFP

LINZ, Austria: Bintang tenis remaja Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff, memenangi kejuaraan WTA yang pertama dalam kariernya apabila menewaskan Jelena Ostapenko 6-3, 1-6 dan 6-2 pada final kejohanan di sini, sekali gus menjulang trofi sulung beliau pada usia 15 tahun Ahad lepas.

Gauff, yang hanya memasuki kejohanan selepas penarikan diri seorang pemain pilihan, melengkapkan satu minggu impian apabila menjadi pemain paling muda yang memenangi satu kejohanan WTA sejak Nicole Vaidisova dari Republik Czech, yang memenangi kejohanan di Vancouver dan Tashkent pada usia kurang dua bulan berbanding usia semasa Gauff.

“Saya akan mengingati hari ini untuk sepanjang hidup saya,” kata Gauff selepas menerima tepukan hormat dari sekitar 3,000 penonton  yang hadir.

“Saya mengharungi minggu yang hebat dan saya berharap untuk kembali lagi di masa hadapan.”

“Saya masih terharu, ia mengejutkan dan gila untuk berkata saya sudah  memenangi kejuaraan WTA yang pertama,” tambah beliau.

“Kejohanan ini tidak langsung berada dalam kalendar saya di awal musim. Saya tidak fikir saya mempunyai peluang untuk layak ke kejohanan ini tetapi sekarang, saya adalah juara kejohanan.”

Gauff akan melonjak naik dari ranking ke-110 sebelum bermula kejohanan, ke ranking 80 dunia selepas menjadi pemain paling muda AS yang memenangi satu kejuaraan WTA sejak Jennifer Capriati menang di Toronto pada 1991.

Gauff mula mencuri perhatian tahun ini selepas aksi memberangsangkan di Wimbledon dan Terbuka AS, di mana beliau tewas di pusingan ketiga kejohanan oleh Naomi Osaka, dan aksi memberangsangkan di Linz yang menghiburkan penonton tempatan.

Gauff bermula bergaya apabila menang mudah pada set pertama tetapi gagal mengekalkan rentak pada set kedua apabila Ostapenko berjaga mengikat kedudukan 1-1.

Namun Gauff meningkatkan semula permainannya untuk mencipta satu sejarah dalam kehidupannya dengan kejuaraan sulung WTA.

“Tahniah Coco,” kata Ospatenko. “Anda mempunyai masa depan yang cerah, ia cukup menarik untuk bersaing dengan anda hari ini.

“Ia adalah minggu yang sukar bagi saya tetapi saya gembira untuk melangkah ke final walaupun ia bukan keputusan yang saya harapkan.”

Dengan penampilan sulung pada kejohanan dalam dewan di Eropah bermula dengan memberangsangkan, Gauff dijadualkan akan bertanding di Luxembourg sebelum menamatkan musim WTA beliau. — AFP

Advertisement