Anda di sini

DBKK juara Bola Jaring Piala Toh Puan 2019

Advertisement
 Pricella (dua dari kanan) dinobatkan sebagai pemain penjaring terbanyak dalam kejohanan itu.
PENJARING TERBANYAK: Pricella (dua dari kanan) dinobatkan sebagai pemain penjaring terbanyak dalam kejohanan itu.

KOTA KINABALU: Kejuaraan Kejohanan Bola Jaring Piala Toh Puan Ke-8 bagi tahun 2019 sah milik pasukan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Pasukan yang diletakkan dalam kumpulan D bersama pesaing terdekatnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS 1) serta Politeknik dan PSKPP Sandakan dilihat berjaya mempamer aksi cemerlang, sekaligus menidakkan kemaraan 14 pasukan lain termasuk dari kumpulan A, B dan C dalam perlawanan secara liga berkumpulan.

Naib juara disandang pasukan JPNS 1 sementara pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) dan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masing-masing terpaksa berpuas hati berada di kedudukan tempat ketiga dan keempat.

Pada kejohanan berkenaan, sebanyak 18 pasukan terdiri daripada kakitangan kerajaan Persekutuan dan negeri, badan berkanun dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) turut beraksi di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan, di sini kelmarin.

Selain menutup kejohanan secara rasmi, Penaung Persatuan Bola Jaring Negeri Sabah (SABANA) Toh Puan Norlidah R.M Jasni yang juga isteri Yang Dipertua Negeri turut menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Turut disampaikan, hadiah kepada Penjaring Terbanyak Priscella Aletha daripada pasukan JPNS 1 dan Pemain Pertahanan Terbaik Julinah Abat daripada pasukan BOMBA.

 Toh Puan Norlidah (tiga dari kiri) menyampaikan piala kepada Julina (dua dari kanan) sebagai pemain pertahanan terbaik.
TAHNIAH: Toh Puan Norlidah (tiga dari kiri) menyampaikan piala kepada Julina (dua dari kanan) sebagai pemain pertahanan terbaik.

Bagi kategori Pemain Penyerang Terbaik, Pemain Terbaik, Pasukan 'Best Attire' dan Pasukan 'Fairplay' yang masing-masing dimenangi Haleinah Tuanggak, Mariana Ajit, KKM dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran.

Hadir sama Presiden SABANA Chendramata Sinteh, Penolong Setiausaha Kanan, Kementerian Belia dan Sukan Dayang Mas Sefiah Mahali dan Penolong Pengarah Majlis Sukan Negeri Valerie Wong.

  • oleh
  • Advertisement