Anda di sini

Belanjawan kurang adil kepada rakyat Sarawak

Advertisement

SIBU: Secara keseluruhan, Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng kurang adil kepada rakyat Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad.

Safiee berkata, Sarawak sebagai rakan kongsi sepatutnya menerima jumlah yang sama dengan wilayah lain yang membentuk Malaysia berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang dijanjikan.

“Sarawak hanya menerima lapan peratus (RM4.4 bilion), berbanding Sabah yang menerima peruntukan lebih besar iaitu sebanyak 9 peratus (RM5.2 bilion).

“Tetapi, angka lebih besar adalah di Semenanjung iaitu sebanyak 87 peratus bersamaan dengan RM46.7 bilion,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

SAFIEE
SAFIEE

Jelasnya, Sarawak amat memerlukan peruntukan yang lebih besar kerana perlu membangunkan negeri ini bagi mencapai wawasan negeri maju pada 2030.

Katanya pembangunan yang harus diberi perhatian lebih adalah untuk menaik taraf keadaan sekolah daif di mana dalam Belanjawan 2020 ia tidak diberi perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Hanya RM783 juta sahaja diperuntukkan untuk seluruh negara. Meskipun aspek pendidikan jelas di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, aspek menambah baik telekomunikasi sebagaimana keperluan di Sarawak dan Sabah sebagai negeri yang amat luas hanya diperuntukkan sebanyak RM250 juta sahaja.

Katanya, jumlah ini tidak relevan kerana kerja menaik taraf kemudahan komunikasi Internet dan telefon di kedua-dua negeri adalah sama seperti negeri di Semenanjung Malaysia.

Berkenaan royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus, Lim tidak menyentuh langsung mengenai isu berkenaan dalam pembentangannya.

“Begitu juga kutipan cukai. Lim pernah menjanjikan 50 peratus dikembalikan kepada Sarawak dan Sabah, tetapi di mana janji itu,” kata Safiee.

Beliau berkata lagi, menteri dan timbalan menteri dari Sarawak sepatutnya lebih berusaha dan lantang berusaha supaya kerajaan persekutuan memberi peruntukan yang lebih besar kepada Sarawak.

“Secara keseluruhannya tidak banyak yang boleh kita banggakan dengan bajet kerajaan persekutuan. Kalau beginilah cara kerajaan PH melayan Sarawak maka nampaknya kebergantungan kepada kerajaan persekutuan tidak dapat diharapkan lagi.

“Malah demi kesejahteraan rakyat, sejak kebelakangan ini kerajaan negeri nampaknya terpaksa menggunakan dana Kerajaan Sarawak sendiri meskipun bidang/aspek tersebut adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement