Anda di sini

Tingkatkan kesedaran kesihatan mental

Advertisement
 Liau Fui Fui (enam kiri) memotong kek bersama jawatankuasa tertinggi Persatuan Kaunseling Ren Ai Sandakan yang menyambut ulang tahun ke-10.
ULANGTAHUN: Liau Fui Fui (enam kiri) memotong kek bersama jawatankuasa tertinggi Persatuan Kaunseling Ren Ai Sandakan yang menyambut ulang tahun ke-10.

SANDAKAN: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung mahu masyarakat sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat selain meningkatkan kesedaran umum terhadap kesihatan mental.

Beliau berkata golongan remaja kita terdedah penyakit mental dimana mengikut laporan kajian kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2017, daripada setiap lima orang remaja, terdapat seorang yang rasa tertekan manakala dua orang merasa gelisah.

“Kajian yang selanjutnya mendapati 11.2% remaja ada kecenderungan untuk membunuh diri. Apa yang membimbangkan ialah kadar pelajar-pelajar sekolah yang menghadapi masalah mental semakin hari semakin meningkat,” katanya.

Poon berkata menurut Profesor Madya Dr Ng Chong Guan, Pakar Perunding Psikiatri di Pusat Pakar Universiti Malaya (PPUM), pada tahun 2015, hampir 30% rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

“Masalah mental tidak hanya merujuk kepada masalah otak sahaja. Malah, kemurungan dan kebimbangan juga tergolong dalam masalah mental,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan masyarakat harus mengambil iktibar bahawa sebahagian daripada golongan yang dikesan mengalami gangguan mental adalah terdiri daripada golongan remaja.

Poon berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun yang ke-10 Persatuan Kaunseling Ren Ai Sandakan, di Dewan Yu Yuan, kelmarin.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Setiausaha Politik Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Liau Fui Fui.

Beliau berkata sudah genap 10 tahun Ren Ai menjalankan aktiviti amal untuk masyarakat di Sandakan dalam aspek penjagaan pesakit-pesakit mental melalui proses pemulihan, lawatan ke rumah, bimbingan dan motivasi serta mempromosikan kesedaran tentang penjagaan kesihatan mental.

“Di samping itu, Ren Ai juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Duchess Of Kent Sandakan. Justeru itu, kes-kes serangan semula dapat dikurangkan,” katanya.

Poon yakin dan percaya pelayanan Ren Ai selama 10 tahun ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Pada kesempatan ini, beliau merakamkan mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat dan meneruskan usaha berkenaan.

Dalam pada itu, beliau mahu semua pihak harus memberi sokongan berterusan dan berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan mental tanpa mengira bangsa atau pangkat.

“Bagi yang berkemampuan, bolehlah memberi sokongan berbentuk kewangan. Yang lain, bolehlah menyumbangkan tenaga, masa dan kasih sayang kepada golongan yang memerlukannya.

“Dengan ini, saya percaya keadaan kesihatan mental akan bertambah baik di negara kita,” katanya.

Beliau berharap Persatuan Kaunseling Ren Ai Sandakan akan terus berkembang dan memperluaskan pelayanannya selaras dengan perancangan kerajaan dan terus memainkan peranan yang signifikan dalam melayani golongan yang memerlukan bantuan.
 

  • oleh
  • Advertisement