Anda di sini

Prospek ekonomi Malaysia 2020 tidak optimistik

Advertisement
WONG
WONG

SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dudong Wong Ching Yong beranggapan prospek ekonomi Malaysia 2020 tidak optimistik dan boleh dikatakan suram.

Menurutnya, berdasarkan beberapa statistik dibentangkan pada Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng Jumaat lalu, hasil kerajaan dijangka mencecah RM244.53 bilion pada 2020 berbanding RM263.3 bilion pada 2019.

"Ini merupakan penurunan sebanyak 7.13 peratus. Pengurangan hasil kerajaan bermakna pendapatan boleh cukai daripada pembayar cukai termasuk syarikat, individu, cukai pendapatan petroleum dan hasil bukan cukai lain dan cukai tidak langsung juga berkurang.

"Ini adalah satu tanda sangat membimbangkan kerana ini adalah kali pertama dalam beberapa tahun pendapatan dikurangkan oleh peratusan ketara.  

"Kerajaan PH menilai penurunan ini disebabkan pengurangan cukai tidak langsung iaitu SST. Banyak pakar cukai menasihati kerajaan kembali kepada GST tetapi ini ditolak oleh Menteri Kewangan dalam ucapan belanjawannya semalam," kata Wong dalam satu kenyataan media kelmarin.

Beliau berkata, satu tanda membimbangkan adalah perbelanjaan mengurus 2020 adalah RM241.02 bilion berbanding perbelanjaan mengurus pada 2019 iaitu RM262.26 bilion.

Jelasnya, jumlah ini menunjukkan pengurangan sebanyak 8.1 peratus.

"Bagaimanapun, apabila kerajaan cuba mengurangkan perbelanjaan operasi, emolumen dibayar kepada kakitangan awam meningkat daripada RM82.045 bilion pada 2019 kepada RM82.60 bilion.

"Emolumen penjawat awam pada 2019 adalah 31.6 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan mengurus sementara pada 2020 pada kadar 34.27 peratus daripada jumlah perbelanjaan mengurus," katanya.

Beliau berkata, bilangan pesara pada 2020 seramai 874,000 manakala bilangan pesara pada 2019 adalah seramai 853,000.

"Ini mewakili kenaikan 21,000 pesara. Dengan kata lain, sebahagian besar perbelanjaan mengurus adalah membayar gaji, upah dan pencen kakitangan kerajaan di Malaysia," ujarnya.

Menurut Wong, jumlah penjawat awam di Malaysia pada masa ini seramai 1.6 juta orang.

Tambahnya, jumlah penjawat awam ramai ini menyebabkan dan terus menyebabkan perbelanjaan mengurus kerajaan meningkat setiap tahun.

"Belanjawan 2020 menunjukkan habuan besar penjawat awam kerana kos sara hidup kakitangan atau COLA dinaikkan RM50 sebulan bermula 2020 untuk kumpulan sokongan dengan tambahan RM350 juta setahun.

"Penjawat awam juga dibenarkan menebus cuti terkumpul sehingga 75 hari sebagai bayaran gantian pada masa sama kerajaan mengumumkan bayaran khas RM500 untuk penjawat awam Gred 56 dan ke bawah," katanya.

Beliau turut memetik bahawa pakar ekonomi menggesa kerajaan supaya mempunyai keberanian menyelaraskan jumlah besar kakitangan awam di Malaysia.

"Walaupun kerajaan mencuba dasar penjimatan untuk mengawal perbelanjaan, ironinya setiap tahun penjawat awam masih menikmati kenaikan," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement