Anda di sini

Projek jambatan RM30 juta dibina tahun depan

Advertisement
 Sarifuddin menyempurnakan acara simbolik perasmian DSBC 2.0 Kg Pasir Putih Baharu Tawau.
PERASMIAN: Sarifuddin menyempurnakan acara simbolik perasmian DSBC 2.0 Kg Pasir Putih Baharu Tawau.

TAWAU: Projek pembinaan jambatan Kg Pasir Putih Baharu - Kg Tanjung Batu Log Pond sepanjang kira-kira 2.5KM dijangka bakal mula dibangunkan pada tahun hadapan.

Pembantu Menteri Kewangan Sarifuddin Hata berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sudah meluluskan peruntukan RM30 juta untuk pelaksanaan projek itu.

“Kita memohon peruntukan sebanyak RM60 juta namun KPLB meluluskan RM30 juta, tetapi pada masa sama kita optimis projek ini dapat dijalankan dan disiapkan pada 2021.

“Kita harap apabila siapnya jambatan ini kelak, isu kesesakan lalulintas di kawasan kampung ini, khususnya di Jalan Sin San dan Jalan Utara akan dapat diatasi,” katanya.

Sarifuddin berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Di Sini Bermulanya Cinta (DSBC) 2.0 di Dewan Serbaguna Kg Pasir Putih Baharu, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha mendapatkan kelulusan pewartaan kampung terbabit juga kini sudahpun melepasi peringkat Land Utilisation Committee (LUC).

“Sebagai kampung pertama yang kita isytiharkan kampung budaya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, kita akan berusaha mendapatkan pewartaannya.

“Kampung ini membuktikan bahawa perlunya setiap penduduk tanpa mengira usia, latar belakang dan ideologi politik untuk bersatu membangunkan kampung bersama,” katanya.

Menurutnya, usaha penganjur, Pertubuhan Komuniti Kg Pasir Putih Baharu Tawau (Penggiat) wajar dipuji dan berharap DSBC terus menjadi acara tahunan di kampung itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai berkata pihaknya juga akan komited membantu menyediakan prasarana atau kemudahan yang diperlukan penduduk.

“Kita akan sedaya-upaya memberikan sokongan kepada usaha penduduk termasuk mewujudkan Pasar Ahad untuk menjana sumber ekonomi orang kampung,” katanya.

Hadir sama, Ketua Kampung Ruddin Paita, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Muhammad Mai dan Pengerusi Penggiat Noorala Muh Tang.

  • oleh
  • Advertisement