Anda di sini

Penganggur dipenjara, sebat kerana miliki parang

Advertisement
Tertuduh di lobi Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.
Tertuduh di lobi Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan terhadap seorang penganggur kerana melakukan kesalahan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang.

Hakim Mahkamah Sesyen, Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad juga menetapkan hukuman penjara bagi Yusman Yusoff mulai dari tarikh ditangkap iaitu pada 28 Julai lalu.

Terdahulunya pada 27 Ogos, tertuduh berusia 46 tahun itu mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit di Mahkamah Sesyen.

Namun, oleh kerana tertuduh mempunyai kad pesakit mental (kad merah), mahkamah menetapkan agar dia dihantar ke Hospital Sentosa selama sebulan untuk memastikannya benar-benar layak dibicarakan.

“Dalam hal ini, laporan daripada Hospital Sentosa menyatakan bahawa tertuduh disahkan waras dan layak dibicarakan.

Maka, tertuduh dikenakan hukuman sedemikian,” ujar Dayang Ellyn ketika menjatuhkan hukum.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 6(1)Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 atas kesalahan memiliki senjata berbahaya iaitu parang.

Menurut fakta kes, tertuduh dikatakan mengamuk di sebuah kedai perkakasan dengan mengambil sebilah parang dari motosikalnya dan bertindak menetak sebuah meja serta dua buah komputer sehingga rosak.

Dia turut menggertak pemilik kedai perkakasan berkenaan, Chen Tze Onn, 45, dengan mengacukan parang ke arahnya, selain mengugut hendak membakar kedainya yang terletak di Jalan Sultan Tengah itu.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukannya pada jam 4 petang, 23 Julai lalu.

Berikutan peristiwa itu, Chen mengalami kerugian lebih kurang RM1,000.

Akibat melakukan khianat dengan merosakkan barang di kedai perkakasan di samping mengugut hendak membakar kedai tersebut, tertuduh berhadapan dua pertuduhan, masing-masing di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 506 KK.

Pada 27 Ogos lalu, tertuduh juga dikenakan denda RM3,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal oleh Mahkamah Majistret bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement