Anda di sini

Misi memburu gelaran kembali terbuka

Advertisement
 Zainuddin (kiri) meraikan jaringannya pada perlawanan Liga M3 2019 menentang Kelantan United di Stadium Sarawak, malam kelmarin.
GEMBIRA: Zainuddin (kiri) meraikan jaringannya pada perlawanan Liga M3 2019 menentang Kelantan United di Stadium Sarawak, malam kelmarin.

KUCHING: Peluang Kuching FA untuk merampas kejuaraan Liga M3 2019 kembali terbuka susulan kejayaan menewaskan Kelantan United dengan jaringan 2-1 pada perlawanan menarik berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini malam kelmarin.

Kedua-dua pasukan kini hanya dipisahkan enam mata dengan Kelantan United mengumpul 59 mata dan berbaki tiga perlawanan manakala Kuching FA memunggut 53 mata dan berbaki empat perlawanan untuk diharungi sehingga akhir musim ini.

Dalam aksi penuh dramatik malam kelmarin, pemain sayap lincah Kuching FA, Mohammad Zainuddin Bohri wajar diangkat sebagain wira pasukan tuan rumah apabila menjaringkan gol pembukaan cantik pada minit keenam menerusi rembatan padu kaki kiri dari jarak jauh.

Pemain berusia 28 tahun itu kemudian menjadi arkitek gol kedua Kuching FA dengan melakukan hantaran silang dari sudut kiri sebelum disudahkan Sufizal Ismail dengan tandukan kemas pada minit ke-51.

Meskipun ketinggalan, Kelantan United yang dibarisi beberapa nama besar tidak panik malah terus mengasak gawang Kuching FA dari segenap penjuru.

Usaha tanpa henti anak-anak didik Zahasmi Ismail itu menemui hasil apabila pemain tengahnya, Muhamad Shahrul Hakim Rahim berjaya menjaringkan gol sagu hati pelawat pada minit ke-90.

“Alhamdulillah, kita berjaya merealisasikan perlawanan malam ini dengan kemenangan. Saya harap kemenangan ini menjadi titik perubahan drastik untuk Kuching FA bermain dengan momentum yang sama dalam baki empat perlawanan,” kata pengendalinya, Ideris Untong ditemui selepas perlawanan.

Menurutnya, walaupun secara realistik agak mustahil untuk Kuching FA mengejar Kelantan United namun tidak mustahil kerana mereka ada tiga perlawanan manakala kita mempunyai baki empat perlawanan.

“Kita akui Kelantan United bermain dengan baik namun apa-apapun boleh berlaku dalam baki perlawanan. Yang penting semua pemain perlu fokus sepenuhnya untuk memenangi semua perlawanan selepas ini,” kata pengendali Kuching FA berusia 45 tahun itu.

Katanya, kredit wajar diberikan kepada semua pemain kerana bermain dengan semangat perjuangan yang tinggi untuk menghadiahkan kemenangan disifatkannya sebagai penebus maruah.

Kuching FA meneruskan perjuangan menentang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Mindef, Kuala Lumpur pada 19 Oktober ini.

  • oleh
  • Advertisement