Anda di sini

Mangsa kebakaran Kg Talungan dapat pembelaan

Advertisement
 Wong (lima kiri) menyerahkan bantuan kepada mangsa.
SERAH: Wong (lima kiri) menyerahkan bantuan kepada mangsa.

KOTA KINABALU: Nasib lima sekeluarga yang hilang tempat tinggal akibat kebakaran di Kampung Talungan, Telipok, di sini Rabu lalu, mendapat perhatian UPKO Bahagian Sepanggar yang tampil menghulurkan sumbangan.

Sumbangan disampaikan Ketua Bahagian Datuk Wong Thien Fook kepada ketua keluarga mangsa Nganga Ontok, 70, di balai raya kampung berkenaan, kelmarin.

Wong berkata, sumbangan yang dihulurkan itu adalah hasil kutipan daripada ahli UPKO di Bahagian Sepanggar.

Katanya, walaupun tidak banyak namun sumbangan itu diharap akan dapat membantu kesusahan yang dihadapi oleh mangsa sekeluarga.

“Kita faham ketika ini, mangsa sekeluarga sangat buntu dan berharap ada pihak yang tampil untuk membantu menghulurkan sumbangan terutamanya bagi memudahkannya mendirikan semula rumah untuk mereka.

“Mereka difahamkan kini terpaksa menumpang di rumah anak perempuannya sementara sehingga rumah mereka dapat dibina semula,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Menurutnya, keluarga mangsa memberitahu hampir keseluruhan barangan rumah termasuk peralatan persekolahan dua cucunya tidak dapat diselamatkan dalam kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, Wong turut meminta orang ramai supaya tampil membantu menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebanan yang dihadapi keluarga ini.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Agro Bank 2001911000217984 atas nama Nganga Ontok atau menghubungi anaknya Juata Nganga ditalian 012-8651472.
 

  • oleh
  • Advertisement