Anda di sini

Mancini bangga bantu The Azzurri keluar dari situasi sukar

Advertisement
 Para pemain Itali meraikan kejayaan mereka selepas tamat perlawanan di Stadio Olimpico, Rom kelmarin. — Gambar AFP
CERIA: Para pemain Itali meraikan kejayaan mereka selepas tamat perlawanan di Stadio Olimpico, Rom kelmarin. — Gambar AFP

ROM, Itali: Itali mengesahkan tempat ke Euro 2020 dengan kemenangan 2-0 ke atas Greece di sini Sabtu lepas, sekali gus menebus kegagalan layak ke Piala Dunia 2018.

Dengan menyarung jersi berwarna hijau, warna yang dipakai hanya sekali sebelum ini di Stadio Olimpico pada 1954, skuad wajah baharu kendalian Roberto Mancini mengekalkan rekod sempurna dalam Kumpulan J dari tujuh perlawanan untuk mengumpul 21 mata maksima.

Walaupun diberi tentangan kuat oleh Greece hampir satu jam permainan, Itali mengesahkan penguasaan mereka dan sekarang dijamin menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan.

Jorginho menyempurnakan satu tendangan penalti minit ke-63 sebelum Federico Bernardeschi melengkapkan jaringan pada minit ke-78.

“Saya mahu berterima kasih kepada penyokong di Olimpico, walaupun dalam separuh masa pertama, kami bermain agak hambar, mungkin sedikit gemuruh kerana kembali beraksi di Rom,” kata Mancini.

Itali adalah salah satu dari 12 negara tuan rumah untuk Euro 2020 dengan perlawanan pembukaan akan dianjurkan di Stadio Olimpico.

Dan Mancini berkata beliau berharap Itali akan mengembalikan “malam gemilang” dari Piala Dunia 1990 di Rom.

“Kami berharap kami akan kembali lagi ke sini,” kata Mancini, “dan pada bulan Jun itu (2020), ia akan menjadi acara lebih hebat.”

Itali akan bermain sekurang-kurangnya dua perlawanan kumpulan mereka pada Euro 2020 di Rom pada bulan Jun.

Mancini sudah membina semula skuad Itali sejak gagal layak ke Piala Dunia 2018 di Rusia dan mereka mengesahkan tiket ke Euro 2020 dengan berbaki tiga perlawanan.

“Saya berasa gembira dan bangga untuk membantu pasukan melangkah keluar dari situasi sukar,” kata Mancini.

“Kami sudah berjaya membina semua pasukan dalam tempoh masa yang singkat.

“Ia bukan mudah tetapi kami harus berterima kasih kepada pemain yang dengan pantas menyesuaikan diri sesama mereka.

“Ini adalah sebuah pasukan dengan karektor, yang bermain dengan rasa bangga, tidak pernah mengalah dan bersaing sehingga ke wisel penamat tetapi tetap masih mahu memperbaiki permainan.

“Kami harus bekerja-keras, tetapi kami tidak jauh ketinggalan dari pasukan terbaik di Eropah.”

Itali menguasai awal permainan tetapi Greece mula mengimbangi permainan dengan memiliki beberapa peluang terbaik untuk membuka jaringan tetapi penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma beraksi tangkas menepis cubaan Dimitris Limnios.

Lorenzo Insigne dan Nicola Barella juga mempunyai peluang buat Itali, yang kehilangan penyerang Federico Chiesa kerana kecederaan sebelum rehat dan diganti oleh Bernardeschi.

Itali membuka jaringan apabila Andreas Bouchalakis menggunakan tangannya untuk menghadang bola umpanan Insigne, membolehkan Jorginho menyempurnakan penalti dengan tenang.

Ia adalah gol ketiga pemain tengah itu bersama Itali dan kesemuanya dari sepakan penalti.

Greece cuba bangkit dan kembali menguasai permainan tetapi Bernardeschi menamatkan sebarang impian Greece mencari gol penyamaan apabila menambah jaringan menerusi satu rembatan jarak jauh.

“Kami akan ke Euro, mempamerkan aksi yang baik dan akan cuba melangkah jauh kerana ia sudah agak lama sejak kali terakhir Itali muncul juara (di Eropah),” kata Mancini.

Kali terakhir Itali memenangi kejuaraan Eropah, yang juga kejuaraan tunggal mereka ialah pada 1968.

Greece, juara Eropah pada 2004, berada di tangga kelima kumpulan dengan lima mata dan akan menentang Bosnia-Herzegovina pada perlawanan seterusnya. — AFP

Advertisement