Anda di sini

Kerajaan tidak beri kerakyatan orang luar beli rumah dengan hanya RM600,000

Advertisement
 Dr Mahathir mendengar penerangan daripada Pengurus Bahagian Geopark Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Azmil Munif Mohd Bokhari (kanan) ketika menghadiri Taklimat Pembangunan Pulau Langkawi di Kompleks LADA Langkawi semalam. — Gambar Bernama
TELITI: Dr Mahathir mendengar penerangan daripada Pengurus Bahagian Geopark Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Azmil Munif Mohd Bokhari (kanan) ketika menghadiri Taklimat Pembangunan Pulau Langkawi di Kompleks LADA Langkawi semalam. — Gambar Bernama

LANGKAWI: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penurunan had harga rumah untuk pembeli asing kepada RM600,000 bertujuan mengurangkan bekalan kondominium dan pangsapuri tidak terjual.

Beliau turut menegaskan warga asing yang membeli rumah berkenaan tidak akan diberikan kewarganegaraan. 

“Kalau orang tempatan nak beli pun boleh jual dengan harga itu juga tetapi kita ada ‘over hang’, kita telah bangunkan rumah dengan banyak sekarang ini tidal dijual. Apabila sesuatu projek perumahan tak dijual ia menyebabkan kerugian kepada negara, jadi kita nak rid of this over hang.

“Bila dah over hang dah get rid kita nak naik balik ke RM800,000; RM1 juta atau RM2 juta itu, ini cara kita nak lariskan penjualan. Kalau orang asing beli, mereka boleh beli tetapi kita tidak beri kerakyatan kepada mereka, mereka guna sebagai ‘holiday home’,” katanya.

Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat pembangunan Langkawi di sini, semalam.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan, Pegawai Daerah Langkawi Muhammad Arof Darus dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan Radzuan Osman.

Semasa membentang Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa untuk mengurangkan bekalan kondominium dan pangsapuri tidak terjual bernilai RM8.3 bilion pada suku kedua 2019, kerajaan akan menurunkan had harga hartanah bangunan tinggi di kawasan bandar untuk pemilikan asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada 2020.

Mengenai isu import minyak sawit, Perdana Menteri berkata, Kerajaan belum bercadang membuat sebarang respon terhadap laporan berita mengatakan bahawa India merancang untuk melarang import minyak sawit dari Malaysia. Buat masa ini Malaysia perlu melihat tindakan selanjutnya daripada negara berkenaan.

“Kita akan kaji kesan yang akan diambil oleh India. India juga menjual barang kepada kita. Jadi dalam trade ini bukan one way sahaja, two ways,” katanya.

Malaysia dan India perlu mengelak daripada menjadikan perkara itu perang perdagangan yang akhirnya akan merugikan kedua-dua negara.

Perdana Menteri diminta mengulas mengenai laporan berita sebuah agensi berita antarabangsa yang mengatakan India bercadang melarang import produk Malaysia termasuk minyak sawit susulan kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan lepas berkaitan isu Jammu dan Kashmir. Laporan itu menyatakan Dr Mahathir mendakwa India telah ‘menceroboh dan menduduki’ Jammu dan Kashmir dan meminta New Delhi berbincang dengan Pakistan untuk menyelesaikan isu itu.

India mengimport kira-kira 150,000 tan sebulan, yang juga pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia. — Bernama

Advertisement