Anda di sini

Kerajaan diharap lebih komited pastikan rakyat nikmati kemudahan

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Kerajaan diharap lebih komited dalam memastikan semua lapisan rakyat di negeri ini menikmati pelbagai kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) Shane Goon Thien Shang berkata, walaupun Sabah sudah merdeka melalui pembentukan Malaysia pada 1963, tetapi masih ramai lagi rakyat yang belum menikmati kemudahan asas yang amat penting dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Menurutnya, masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya masih belum ditangani secara tuntas dan hampir setiap hari kita mendengar keluhan rakyat sama ada melalui media sosial dan media cetak meminta agar kerajaan memberikan perhatian.

SHANE GOON
SHANE GOON

“Kerajaan hendaklah lebih bersungguh-sungguh dalam melaksanakan projek-projek kemudahan asas demi kepentingan rakyat,” katanya.

Shane berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Belanjawan 2020 yang dbentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas.

Katanya, peruntukan sebanyak RM470 juta untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar bagi Sabah dan Sarawak untuk memenuhi sasaran 99 akses kepada air bersih amatlah dialu-alukan.

Bagaimanapun, kerajaan hendaklah memastikan peruntukan yang disalurkan itu menepati sasaran.

Begitu juga peruntukan untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar sebanyak RM500 juta diharap dapat memberi manfaat kepada lebih 30,000 isi rumah luar bandar yang kebanyakannya tinggal di Sabah dan Sarawak.

Langkah kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan jalan luar bandar dengan peruntukan sebanyak RM326 juta untuk projek-projek jalan luar bandar di Sabah diharap dapat dilaksanakan dengan telus untuk memberi faedah kepada rakyat.

  • oleh
  • Advertisement