Anda di sini

Ewon akan semak dengan KPLB Pusat, berhubung elaun tambahan 500 MPKK

Advertisement
 

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick yakin elaun untuk tambahan kuota 500 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sabah telah dimasukkan dalam Belanjawan 2020.
Bagaimanpun katanya, beliau akan menyemak semula perkara itu.  

“KPLB Sabah telah mengemukakan keputusan Kabinet negeri untuk menambah 500 MPKK di Sabah dan menyampaikan perkara ini kepada KPLB Pusat melalui surat dan perbincangan antara pegawai kanan KPLB Persekutuan kerana pembayaran elaun MPKK disediakan oleh KPLB Persekutuan.

“Sebelum ini KPLB Persekutuan juga menulis surat kepada kementerian saya untuk mendapatkan perincian lanjut mengenai tambahan 500 MPKK iaitu dimana lokasi dan profail kampung berkenaan.

 Ewon merasmikan Dewan Serbaguna Kg.Sogoh Narinang.
RASMI: Ewon merasmikan Dewan Serbaguna Kg.Sogoh Narinang.

“Saya fikir keperluan yang diminta itu memang pun berkaitan dengan penyediaan bajet dan kita akan susuli perkara ini dalam mesyuarat akan datang. Saya berharap dan amat yakin MPKK baharu ini akan dapat dilantik pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Dewan Serbaguna Kg. Sogoh Narinang dan Pelancaran COMBI, di dewan kampung itu, di sini, semalam.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, kerajaan negeri dalam mesyuarat Kabinet beberapa bulan lepas membuat ketetapan supaya 500 kuota MPKK diwujudkan di seluruh Sabah memandangkan kali terakhir MPKK (JKKK sebelum ini) dikaji semula ialah pada tahun 1980an.

“Sejak itu ia tidak pernah ditambah walaupun perkampungan kita semakin besar. Ada penambahan perkampungan baharu sebab itu kerajaan Sabah pada hari ini berpendapat adalah wajar kuota MPKK di Sabah ditambah untuk manfaat dan memudahkan pengurusan pembangunan di peringkat kampung.

“Misalnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian ada MPKK yang menjaga sehingga tiga dan empat buah kampung, sebab itu kita bawa perkara ini ke Kabinet dan telah diluluskan 500 MPKK baharu sebagai tambahan kepada 2,835 MPKK sedia ada di Sabah,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah KPLB Persekutuan Christni Alus, Pegawai Kesihatan Daerah Kota Belud Dr Joshua Teo Beng Chin, Pegawai Promosi Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran Agnes Misun, Pengerusi COMBI Negeri Sabah Efandy Eldy Lim, Pengerusi Pelaksanaan Perasmian Dewan Soinah Sodompong, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian Saikom Watis, Setiausaha Perhubungan Menteri Charles Dalansing dan Setiausaha Politik Menteri Carlye Lajimin.

Advertisement