Anda di sini

Bomba tubuh pasukan khas SAR gunung dan gua di Sarawak

Advertisement
HAMDAN

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) merancang untuk menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menjalankan operasi SAR melibatkan kawasan gua dan pergunungan di Sarawak.

Ketua Pengarah, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR) bakal ditubuhkan di Taman Negara Gunung Mulu dalam masa terdekat, melibatkan pemandu pelancong.

Katanya, pemandu pelancong bakal yang arif dan berpengalaman dengan selok-belok kawasan pergunungan dan gua akan dilantik sebagai anggota bomba bantuan.

“Di Sarawak, JPBM akan membentuk pasukan khas ini di Mulu kerana kita percaya dengan kelengkapan canggih dan pengalaman luas pemandu pelancong akan memudahkan lagi operasi SAR dilancarkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas majlis perasmian Program Pemantapan Ketua Zon dan Balai Siri 2/2019 Peringkat Borneo di Pusat konvensyen  Penview (PCC) Demak di sini, hari ini.

Katanya, pasukan Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOSAR) sudah ditubuhkan di Sabah melibatkan 40 pegawai dan anggota membabitkan malim gunung.

“MOSAR yang terdiri daripada malim gunung lebih berpengalaman akan dilantik sebagai anggota bomba bantuan untuk menyertai misi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang di kawasan pergunungan.

“Selepas Sabah, JPBM akan memperluaskan MOSAR di Semenanjung Malaysia dengan melantik pemandu pelancong sebagai bomba bantuan,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai aset milik JBPM, beliau berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)  pihaknya berusaha untuk memastikan semua logistik kebombaan berfungsi pada tahap strategik bagi memenuhi keperluan dalam negara pada masa ini.

JBPM pada masa ini katanya, mempunyai kira-kira 800 jentera seluruh negara yang berfungsi pada tahap operasi. 

“Daripada jumlah itu hanya 60 ke 70 peratus boleh digunakan dan beroperasi sedangkan penanda aras jabatan adalah sekurang-kurangnya 75 peratus dan ke atas jentera berfungsi 24 jam setiap hari.

“Oleh itu, adalah penting bagi JBPM untuk memastikan semua logistik berada pada kondisi terbaik dan boleh beroperasi pada tahap optimum ketika menjalankan kerja-kerja kecemasan,” kata beliau

Ujar Hamdan lagi, dengan perubahan iklim dan ketidakstabilan keadaan geologi bumi, Malaysia pada masa ini dilihat memasuki lingkaran api pasifik.

"Jika dulu, Malaysia tidak dilanda bencana alam yang besar seperti gempa bumi, tsunami, taufan dan juga kemarau berpanjang, namun tidak lagi pada masa ini yang mana untuk tahun lepas sahaja JBPM menerima tidak kurang daripada 40 panggilan kecemasan ekoran gegaran akibat gempa bumi yang berlaku di Sabah," jelasnya

Justeru, katanya, JBPM optimis untuk memastikan semua asetnya dibangunkan sebaik mungkin bagi membolehkan jabatan itu bertindak balas dengan cemerlang sekiranya berlaku kecemasan.

  • oleh
  • Advertisement