Anda di sini

Utusan Borneo lakar sejarah terima Anugerah Citra Bahasa DBP Sabah

Advertisement
 Jaujan (empat kiri) menyampaikan anugerah kepada Naddin ketika di majlis berkenaan.
TAHNIAH: Jaujan (empat kiri) menyampaikan anugerah kepada Naddin ketika di majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Utusan Borneo melakar sejarah apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Citra Bahasa Kategori Media Cetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah semalam.

Anugerah diterima oleh wartawan kanan Utusan Borneo, Abd Naddin Hj Shaiddin, yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong sempena Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan (GDBK) 2019 peringkat negeri Sabah.

Majlis berlangsung di Dewan Amil Jaya, Kompleks DBP Sabah. Hadir sama Pengarah DBP Sabah, Aminah Awang Basar.

Dalam pada itu, Utusan Borneo merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada DBP atas penghormatan sebagai penerima Anugerah Citra Bahasa itu.

"Sesungguhnya, Utusan Borneo rasa tersanjung, dihargai lagi diingati, atas anugerah besar ini. Kami akan terus mendokong perjuangan mendaulatkan Bahasa Malaysia menerusi wadah persuratkhabaran.

"Sesuai dengan slogan kami 'Citra Generasi Prihatin', Utusan Borneo akan terus berada di hadapan gelanggang di persada perjuangan kebahasaan ini. Bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan bangsa, bahasa komunikasi senusantara, dan bahasa integrasi sesama kita," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, sebagai akhbar berbahasa Melayu sepenuhnya, Utusan Borneo komited usaha memartabatkan perjuangan bahasa.

Mengikut perangkaan, pada masa ini jumlah penutur bahasa Melayu dalam pelbagai dialek di seluruh pelosok dunia mencecah 300 juta orang, menjadikan bahasa Melayu termasuk dalam tujuh bahasa besar di dunia, selain bahasa Russia, Arab, Sepanyol, Hindi, Inggeris dan Mandarin.

Antara mereka yang turut mendapat anugerah yang sama mengikut kategori masing-masing ialah Wisma Merdeka, Restoran Nasi Mandi, Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah dan Majlis Daerah Penampang.
 

  • oleh
  • Advertisement