Anda di sini

Sarawak harap agihan setara

Advertisement
SNOWDAN
SNOWDAN

KUCHING: Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan berharap peruntukan RM20 juta untuk membangun dan menggalakkan E-Sukan (e-sports) di Malaysia diagihkan secara adil dan saksama kepada semua negeri.

Menurutnya, sebagai pelopor E-Sukan, Sarawak mengharapkan agihan setara untuk memanfaatkan golongan belia di negeri ini yang menceburi sukan itu.

“Pada tahun lalu, sejumlah RM10 juta diperuntukkan untuk E-Sukan namun ia hanya memberi impak kecil kepada Sarawak dan kita terpaksa mengeluarkan dana sendiri demi untuk memastikan sukan baharu itu terus bertahan sepanjang tahun.

“Sukan elit ini semakin berkembang dan popular kalangan belia sekolah menengah, kampus sehingga universiti dan untuk meluaskannya ke kawasan luar bandar memerlukan peruntukan tambahan bagi membina fasiliti dan membeli peralatan,” katanya mengulas peruntukan RM20 juta untuk pembangunan E-Sukan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Belanjawan 2020 kelmarin.

Jelas beliau, untuk mengembangkan E-Sukan di Sarawak capaian Internet berkelajuan tinggi adalah satu kemestian.

Katanya, sebagai salah satu sukan yang akan dipertanding dan menawarkan pingat pada Sukan SEA Filipina pada Disember ini dan SUKMA Johor 2020, Sarawak sedang giat mencungkil bakat-bakat berpotensi untuk mewakili negeri dan memenangi pingat.

"Namun, kekangan peruntukan daripada kerajaan persekutuan membantutkan pertumbuhan sukan itu di negeri ini, kata Snowdan.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin itu berharap Sarawak turut mendapat agihan lebih positif dari peruntukan sejumlah RM299 juta untuk pelaksanaan Program Sukan Untuk Semua.

Ini termasuk memulih dan menaik taraf kemudahan sukan serta Kompleks Belia dan Sukan dan Kompleks Sukan Komuniti seluruh negara.

“Sarawak adalah salah satu negeri kuasa sukan dan untuk mempercepat pertumbuhan bakat sukan kita mengharapkan agihan sama rata daripada RM299 juta yang diperuntukkan untuk semua program sukan.

“Kita juga memerlukan lebih banyak dana daripada peruntukan sejumlah RM179 juta untuk atlet sedia ada dan atlet paralimpik yang menjalani latihan di luar negara,” katanya.

Snowdan berkata, mengambil kira demografi dan kos pengangkutan di negeri ini, Sarawak memerlukan peruntukan lebih besar untuk pembinaan pelbagai prasarana sukan serta penyediaan latihan di tempat-tempat lain selain di bandar utama sahaja.

  • oleh
  • Advertisement