Anda di sini

Polis Marin Tok Bali rampas 66 kotak rokok seludup

Advertisement
 Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, ACP Norzaid Muhammad Said (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan rokok putih yang dirampas ketika sidang media di Markas Tektikal Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Tok Bali, dekat Pasir Puteh, semalam. — Gambar Bernama
RAMPASAN: Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, ACP Norzaid Muhammad Said (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan rokok putih yang dirampas ketika sidang media di Markas Tektikal Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Tok Bali, dekat Pasir Puteh, semalam. — Gambar Bernama

PASIR PUTEH: Polis Marin Wilayah Tiga, Tok Bali merampas 66 kotak mengandungi 3,300 karton rokok putih bernilai RM349,800, yang cuba diseludup ke negara ini, kira-kira tujuh batu nautika dari Pantai Semerak di sini, pagi kelmarin.

Komandernya, ACP Norzaid Muhammad  Said berkata, pada kejadian kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, sepasukan polis yang diketuai ASP Nik Ali Nik Mat yang melakukan rondaan Ops Gelora, bertembung dengan sebuah bot di kawasan Laut Melawi, Bachok, jam 3 pagi.

“Apabila menyedari kehadiran bot ronda polis, suspek cuba melarikan diri dengan memecut laju dan berpatah balik menuju ke Pantai Semerak,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Tok Bali di sini, semalam.

Beliau berkata, selepas kejadian kejar-mengejar berlangsung hampir satu jam, suspek bertindak membuangkan kotak-kotak rokok berkenaan ke laut dan melarikan diri.

“Pernah satu ketika bot pasukan polis hampir dirempuh bot suspek, tetapi kami bernasib baik apabila sempat mengelak,” katanya.

Norzaid berkata, rokok-rokok berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran Thailand untuk dipasarkan secara gelap, bagi memenuhi permintaan tinggi di sekitar negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata, suspek dipercayai rakyat tempatan menggunakan laluan laut dengan bot berkuasa tinggi, selepas menyedari kawalan ketat di sempadan daratan Malaysia/Thailand.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Polis akan melipatgandakan usaha pemeriksaan dan rondaan bagi memastikan keselamatan perairan Pantai Timur, berada pada tahap terbaik dalam usaha membendung aktiviti penyeludupan rentas sempadan, katanya. — Bernama

Advertisement