Anda di sini

Komposer, penulis lirik tempatan perlu daftar lagu

Advertisement
 Para pemenang merakamkan gambar kenangan kenangan bersama Jenifer (empat dari kiri), Mohd Yusni (tiga dari kiri) dan Henry (empat dari kanan).
GAMBAR KENANGAN: Para pemenang merakamkan gambar kenangan kenangan bersama Jenifer (empat dari kiri), Mohd Yusni (tiga dari kiri) dan Henry (empat dari kanan).

PENAMPANG: Semua komposer lagu dan penulis lirik di Sabah perlu mendaftarkan lagu mereka kepada badan tertentu untuk mendapatkan hak royalti

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Jenifer Lasimbang menjelaskan pendaftaran lagu kepada badan-badan itu membolehkan bayaran disalurkan terus kepada pencipta berkenaan.

"Kita menyeru semua pencipta lagu tempatan di Sabah agar mendaftarkan lagu ciptaan mereka kepada badan-badan yang dipertanggungjawab berkaitan dengan bayaran royalti lagu.

"Ini kerana lagu ciptaan seseorang pencipta lagu merupakan harta intelek yang sangat bernilai.

"Pendaftaran ini membolehkan bayaran disalurkan terus kepada komposer terbabit," katanya ketika merasmikan Pertandingan Akhir Juara Lagu Popular Musim Ke-7 Sabah VFM di Buhavan Square, Donggongon dekat sini, pada malam kelmarin.

Menurut Jenifer, pertandingan itu antara lain bertujuan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni suara Kadazan, sekaligus menggalakkan lebih ramai pencipta lagu, penulis lirik dan penyanyi untuk menghasilkan ciptaan lagu-lagu baharu Kadazan yang lebih berkualiti.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga amat menggalakkan sebarang usaha sama ada jabatan atau agensi kerajaan untuk membantu artis-artis tempatan menonjolkan bakat dan identiti tempatan kepada dunia luar.

"Tidak dinafikan, lagu-lagu bahasa tempatan kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pendengar.

"Penghasilan lagu yang berkualiti mampu menarik minat bukan sahaja pendengar Kadazan malah suku kaum lain di seluruh Malaysia," katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Penampang, Henry Idol dan Ketua Penolong Pengarah Rancangan Radio RTM Sabah, Mohd Yusni Mohamad Ali.

Dalam pertandingan itu, lagu berjudul 'Ginavo Nosinduahan' dendangan Jekley Goidon dan penulis lirik oleh Minami Anduini dinobatkan sebagai Juara Carta Lagu Popular Kadazan, selepas menewaskan seramai sembilan finalis lain.

Manakala, empat finalis lagi meraih kategori Anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Penyanyi Popular (melalui undian SMS) dan Anugerah Lirik Terbaik yang masing-masing dimenangi Esther Clement Tubong, Alice Marius, Jeffson J. Sepili dan Denis Primus.

  • oleh
  • Advertisement