Anda di sini

Kerajaan pusat prihatin kepentingan rakyat Sabah

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick menyifatkan Bajet Negara 2020 sebagai manifestasi keprihatinan dan komitmen kerajaan pusat terhadap kepentingan rakyat Sabah terutamanya kenaikan pemberian khas kepada kerajaan negeri.

Sambil menyambut baik Bajet 2020 itu beliau berkata, peruntukan khas tahunan kepada kerajaan negeri merupakan satu indikasi bahawa kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad mengambil kira pandangan pimpinan kerajaan Sabah.

 Ewon melancarkan Hari Sukan Peringkat KPLB Sabah.
LANCAR: Ewon melancarkan Hari Sukan Peringkat KPLB Sabah.
 

“Kami di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) mengalu-alukan Bajet tahunan kedua yang dibentangkan oleh kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan.

“Satu yang saya nampak sangat jelas perbezaan dari bajet-bajet sebelum ini ialah pemberian khas tahunan kepada kerajaan negeri Sabah dinaikkan sekali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta.
 
“Ini merupakan satu indikasi bahawa kerajaan persekutuan mengambil kira pandangan pemimpin kerajaan Sabah pada hari ini yang menyampaikan pendirian dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan pemberian hasil kepada Sabah yang perlu dikaji semula kerana ianya tidak pernah dilakukan sejak tahun 1969,” katanya.

 Ewon menerima baju sukan daripada Fredian, turut kelihatan Rasinin (dua dari kanan), Hj.Dumi (dua dari kiri) dan Aftar (kiri).
TERIMA: Ewon menerima baju sukan daripada Fredian, turut kelihatan Rasinin (dua dari kanan), Hj.Dumi (dua dari kiri) dan Aftar (kiri).
 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Hari Sukan KPLB Sabah sempena Bulan Sukan Negara 2019, di Dewan KPLB Sabah, di sini, kelmarin.
 
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut mengalu-alukan Bajet besar yang diberikan kepada Sabah sebanyak RM5.2 bilion untuk pembangunan negeri ini.
 
“Antaranya untuk jalan Pan Borneo, Jalan Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar, Jalan-jalan Perhubungan Desa dan pelbagai lagi jenis pembangunan lain untuk masyarakat luar bandar,” katanya.

 Ewon (dua dari kanan) bersama-sama senamrobik sebelum pertandingan bermula.
SENAMROBIK: Ewon (dua dari kanan) bersama-sama senamrobik sebelum pertandingan bermula.

Bagaimanapun katanya, penyelarasan dan kerjasama amat penting bagi memastikan pembangunan benar-benar sampai kepada sasaran.
 
“Penyelarasan yang sangat rapat harus dilaksanakan diantara agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri. Ini kerana kerajaan persekutuan tidak boleh melaksanakan apa juga projek pembangunan tanpa kerjasama daripada kerajaan negeri,” katanya.
 
Sehubungan itu Ewon berharap kerjasama dan penyelarasan antara agensi kerajaan persekutuan dan negeri dapat dimantapkan lagi bagi memastikan kehendak pemimpin dan rakyat Sabah khususnya di luar bandar mencapai sasaran.
 
“Saya juga mengalu-alukan pelaksanaan 30 peratus kuota perolehan projek harus diberi kepada usahawan-usahawan bumiputera. Ini sesuatu yang sangat baik untuk golongan usahawan dan peniaga di kalangan bumiputera di negara ini,” katanya.
 
Beliau juga mengharapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bermula 2021-2025, rancangan pertama dalam Wawasan Kemakmuran Bersama dapat dilaksanakan secara sempurna.
 
“Secara peribadi, saya berpendapat Dasar Kemakmuran itu tidak dapat dilaksanakan secara sempurna kalau pemberian hasil, pemberian khas dan kenaikan royalti minyak Sabah tidak ditingkatkan kerana inilah yang diperlukan oleh kerajaan negeri untuk mengurus pembangunan di Sabah khususnya di luar bandar,” katanya.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis dan Dumi Pangiran Hj Masdal, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Timbalan Setiausaha Tetap Aftar Nurajat, ketua-ketua dan pegawai-pegawai KPLB Sabah.

Advertisement