Anda di sini

Jenayah di perumahan Rangau masih terkawal, tidak serius

Advertisement
 AlRani (kanan) menyampaikan taklimat.               Kelihatan sama Adinin (kiri) dan Fakri.
CEGAH JENAYAH: AlRani (kanan) menyampaikan taklimat. Kelihatan sama Adinin (kiri) dan Fakri.

LIMBANG: Kadar jenayah membabitkan masalah dadah dan kes pecah rumah yang berlaku di perumahan Rangau dekat sini masih terkawal dan tidak serius.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang Inspektor AlRani Alipnor berkata, walaupun kawasan panas, aktiviti jenayah dapat ditangani dengan kerjasama dan maklumat orang awam yang melaporkan sebarang bentuk jenayah yang berlaku.

Beliau berkata, aktiviti rondaan yang kerap dilakukan pihaknya bersama Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rangau dan RELA dapat  menangani berlakunya kejadian jenayah seperti pe-cah rumah dan sebagainya.

“Rondaan yang dijalankan lebih kepada aktiviti pencegahan daripada berlakunya aktiviti jenayah dengan memaklumkan kepada penduduk tentang kehadiran pihak polis di kawasan perumahan.

“Dengan adanya rondaan ia dapat mengelak penjenayah daripada melakukan jenayah selain tindakan pantas dapat diambil pasukan peronda untuk membuat laporan terus kepada polis,” katanya ketika ditemui media pada Program Jiran Selamat Komuniti Sejahtera (Program Sayangi Komuniti) di KRT Rangau semalam.

Turut hadir ialah Pegawai Perpaduan Bahagian Limbang Mohd Fakri Asmad dan  Pengerusi  Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rangau Adinin Adol.

AlRani berkata, ada tatacara tertentu semasa rondaan dijalankan dan perlu dilakukan lebih daripada seorang iaitu secara berpasukan bagi berdepan sebarang insiden tidak diingini ketika berdepan penjenayah.

“Apabila rondaan dijalan-kan secara berpasukan kita dapat bersedia jika berdepan penjenayah dan boleh mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau memberitahu, pasukan peronda juga perlu memakai baju yang boleh memantulkan cahaya serta senjata yang digazetkan di bawah Jabatan Perpaduan seperti rotan untuk mempertahankan diri jika berlaku pergelutan.

“Kebanyakan kes pergaduhan berlaku apabila mabuk dan sekiranya berlaku jenayah di depan mata, orang ramai perlu membuat panggilan kecemasan kepada polis atau pasukan rondaan,” ujarnya lagi.

Beliau turut menasihati penduduk agar tidak meng-ambil tindakan sendiri serta mementingkan keselamatan diri dahulu.

Menurutnya lagi, bagi kesalahan jenayah serius mereka tidak boleh meng-ambil tindakan melampau atau bersendirian, sebaliknya menghubungi pihak polis.

Katanya, orang ramai mempunyai hak untuk mempertahankan diri, harta dan nyawa orang lain.

Dalam pada itu, beliau juga mahu ibu bapa agar memainkan peranan dan bersama-sama pihak polis dalam  mencegah anak-anak mereka daripada terlibat dengan dadah.

“Dadah punca kemusnahan segala-galanya.

“Apabila terjebak dengan najis dadah, mereka sanggup melakukan jenayah lain seperti mencuri dan pecah rumah kerana tidak mempunyai wang untuk membeli dadah,” katanya lagi.

Advertisement