Anda di sini

Insentif gaji RM500 untuk wanita kembali bekerja perlu disertakan sistem sokongan lebih baik - Fatimah

Advertisement
FATIMAH
FATIMAH

KUCHING: Pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja perlu diperbanyakkan lagi di Sarawak khasnya sebagai tambahan kepada insentif gaji RM500 sebulan untuk wanita yang kembali bekerja.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata walaupun pemberian insentif itu suatu yang baik serta dialu-alukan, wanita mempunyai anak dan perlu bekerja masih memerlukan sistem sokongan lain.

"Ini baik (pemberian insentif gaji RM500). Rekod menunjukkan wanita kembali bekerja selepas berhenti beberapa tahun kerana komitmen lain khasnya menjaga anak masih kecil, tidak begitu baik.

"Diharap dengan insentif ini, kadar produktiviti dan kecemerlangan wanita atau pekerja itu akan lebih baik tetapi sistem sokongan yang lain masih perlu dipertingkatkan khasnya pusat asuhan di tempat kerja," katanya kepada Utusan Borneo hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insentif gaji RM500 kepada wanita yang kembali bekerja selepas berhenti setahun dua yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Di bawah Belanjawan 2020, kerajaan Persekutuan juga mencadangkan RM30 juta untuk pembinaan taman asuhan kanak-kanak (taska) di bangunan kerajaan berbanding hanya RM10 juta pada 2019.

Bagaimanapun bagi Fatimah, geran untuk membina pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja dilihat tidak mencukupi untuk negeri yang besar seperti Sarawak.

Tambahnya sebagai contoh pusat asuhan atau taska di sekolah dan hospital hampir tidak wujud.
 
Selain itu katanya, kerajaan perlu melihat kebajikan kakitangan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) tidak hanya di Sarawak tetapi seluruh Malaysia.

Menurutnya penyelia dan petugas ketika ini dibayar gaji yang rendah sedangkan beban kerja berat perlu dipikul oleh mereka.

Beliau berkata penyelia PDK hanya dibayar RM1,200 sebulan manakala petugas diberi elaun RM800 sahaja.

Sementara itu, Presiden Persatuan Wanita Untuk Wanita Sarawak (SWWS) Margaret Bedus berkata pemberian insentif gaji RM500 kepada wanita yang kembali bekerja dilihat tidak mencukupi dengan kos sara hidup semakin tinggi ketika ini.

"Insentif ini memang baik tetapi kalau dibanding dengan kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini jumlah itu sangat rendah.

"Kita tahu wanita berhenti bekerja kerana bersalin dan tidak ada orang menjaga anak mereka. Oleh itu kerajaan harus mewujudkan lebih banyak taska di tempat kerja sebagai sokongan kepada wanita-wanita ini," kata Margaret.

Advertisement