Anda di sini

Festival Sains Petrosains pupuk minat terhadap STEM

Advertisement
KAMARUDDIN
KAMARUDDIN
 Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pelbagai program sains interaktif pada Festival Sains Petrosains di Dewan Suarah Kuching, semalam.
TUMPUAN: Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pelbagai program sains interaktif pada Festival Sains Petrosains di Dewan Suarah Kuching, semalam.
 Antara aktiviti menarik terdapat di Petrosains Playsmart di Dewan Suarah Kuching.
TERUJA: Antara aktiviti menarik terdapat di Petrosains Playsmart di Dewan Suarah Kuching.

KUCHING: Orang ramai terutama mereka yang meminati sains dialu-alukan untuk menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan menyeronokkan pada acara sains terbesar negara, Festival Sains Petrosains 2019.

Festival dua hari mulai semalam di Dewan Suarah Kuching di sini merupakan siri ketiga penganjuran oleh Petrosains, The Discovery Centre selepas Kuantan dan Kota Kinabalu pada tahun ini.

Menurut Pengarah Jabatan Program Petrosains, Kamaruddin Kassim pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti program pendidikan kreatif, bengkel, pertunjukan sains, pameran robotik, Petrosains Playsmart serta persembahan artis tempatan pada festival ini.

“Tujuan kita mengadakan festival ini yang sudah memasuki tahun keenam sejak penganjurannya pada 2013 di seluruh negara adalah untuk memupuk minat orang ramai terhadap pembelajaran Sains, Teknologi, Matematik dan Kejuruteraan (STEM).

“Dan untuk tahun ini, buat pertama kali kita mengadakan Festival Sains Petrosains di Kuching agar usaha untuk mempopularkan pembelajaran STEM dengan menjalankan program dan aktiviti menarik dalam kalangan masyarakat di sini, mampu dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Festival Sains Petrosains 2019 bertemakan ‘Meet The Future’ di Dewan Suarah Kuching di sini, semalam.

Kamaruddin menambah, diharapkan festival itu dapat menjadikan sains sebagai satu budaya dalam masyarakat sebagai usaha untuk membantu negara menghasilkan generasi celik sains dan pemikir kritikal melalui satu platform pembelajaran yang menyeronokkan, menarik dan mudah diakses semula.

Selepas penganjuran di Kuching, katanya lagi, Festival Sains Petrosains akan diadakan di Johor Bharu dan seterusnya di Petrosains, Suria KLCC dan Esplanade, KLCC Park untuk acara kemuncak pada 1 hingga 3 November depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksektutif Petrosains Fedora Zulkifli dalam kenyataan medianya berkata, sejak 20 tahun lalu, Petrosains telah berkembang menjadi sebuah institusi diiktiraf yang menyediakan pembelajaran STEM secara tidak formal.

Katanya, ia merupakan salah satu daripada komponen sokongan yang penting  dalam landskap pendidikan negara.

“Melalui festival ini, kita ingin membawa STEM lebih dekat kepada masyarakat dengan menyediakan lebih banyak pembelajaran yang menarik berteraskan STEM kepada orang ramai.

“Kita harap dengan penganjurannya di sini (Kuching), dapat memberikan manfaat kepada masyarakat di Sarawak dengan berkongsi pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan kepada semua pengunjung festival,” ujar Fedora.

Untuk maklumat lanjut mengenai festival dan jadual aktiviti semasa Festival Sains Petrosains 2019, sila layari www.sciencefestival.my.

  • oleh
  • Advertisement