Anda di sini

Delegasi Sarawak giatkan usaha tarik pelabur Jerman

Advertisement
Awang Tengah menerima cenderahati sempena lawatan kerjanya bersama Delegasi Pelaburan dan Perdagangan Sarawak ke Ibu Pejabat X Fab di Efurt, Jerman
Awang Tengah menerima cenderahati sempena lawatan kerjanya bersama Delegasi Pelaburan dan Perdagangan Sarawak ke Ibu Pejabat X Fab di Efurt, Jerman

COLOGNE: Delegasi Sarawak telah menghadiri Pameran Makanan ANUGA 2019 di sini baru-baru ini dan melawat beberapa syarikat Jerman.

Kehadiran delegasi diketuai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu bertujuan menyokong syarikat Sarawak yang mempamerkan pelbagai produk pertanian dan makanan diproses di pameran selama lima hari tersebut.

Sebanyak 50 pempamer Malaysia mengambil bahagian, dengan 34 daripadanya mengetengahkan produk mereka di Pavilion Malaysia yang disediakan pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Frankfurt, manakala 17 lagi pempamer mempunyai ruang mereka sendiri.

Awang Tengah berkata delegasi itu giat berusaha menarik pelabur Jerman, sambil mempromosikan eksport Sarawak.

"Di pameran ANUGA, pempamer kami mengetengahkan kopi, kek istimewa Sarawak, makanan dan minuman, makanan dalam tin, sos, dan sebagainya. Syarikat Sarawak itu terdiri daripada PKS yang mempamerkan produk mereka kepada pembeli antarabangsa," katanya kepada Bernama di luar Pameran Makanan ANUGA.

Pasaran eksport utama Sarawak ialah China, Singapura dan Australia.

"Lada hitam kami terkenal di dunia. Menerusi pameran di ANUGA, produk Sarawak mendapat pendedahan antarabangsa. Kami membawa perkhidmatan kami seperti pensijilan halal (dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk diketengahkan kepada antarabangsa," katanya.

Awang Tengah berkata delegasi itu turut melawat beberapa syarikat Jerman, termasuk ibu pejabat syarikat semikonduktor Jerman, XFAB di Erfurt, XFAB telah melabur dalam pembuatan kontrak semikonduktor di Sarawak iaitu X-FAB Sarawak.

Beliau juga menjelaskan peluang pelaburan untuk syarikat Jerman dalam sektor pertanian Sarawak, terutama bidang pertanian pintar dengan penggunaan teknologi yang luas.

"Kami mempunyai kawasan yang luas sehingga kira-kira 12.4 juta hektar, menawarkan potensi baik untuk pertanian.

"Selain tanaman kontan seperti lada dan sawit, kami juga menumpukan pertanian seperti buah-buahan dan ternakan. Kami juga mempunyai industri perubatan herba...dan telah mengkhususkan 70,000 hektar untuk ternakan, pertanian dan pemprosesan makanan halal, antaranya," katanya.

Beliau berkata China telah melabur dalam bidang pertanian di Sarawak, dengan beberapa lagi syarikat China menunjukkan minat untuk melabur dalam farmaseutikal.

"Pusat Biodiversiti Sarawak melakukan penyelidikan dan pembangunan pada tumbuh-tumbuhan yang mempunyai potensi baik untuk farmaseutikal dalam merawat AIDS dan kanser. Percubaan klinikal telah dijalankan dan pusat biodiverisiti itu mempunyai kerjasama rapat dengan syarikat Amerika Syarikat," katanya.

Walaupun wujud petanda kelembapan ekonomi global atau kemelesetan ekonomi, Awang Tengah yakin dengan prospek bekalan makanan.

"Semua orang memerlukan makanan...anda perlu makan walaupun berlaku kemelesetan," katanya sambil menambah beliau amat berminat bagi mendapatkan syarikat asing untuk mengambil bahagian dalam pemprosesan hiliran di Sarawak.

Sarawak menawarkan insentif menarik kepada pelabur berpotensi, termasuk tempoh tanpa cukai selama 10 tahun, elaun cukai bagi produk halal dan pembelian tanah.

"Jika sebuah syarikat boleh melengkapkan projeknya dalam tempoh tiga tahun, mereka boleh mendapatkan 30 peratus bayaran balik cukai. Faktor tarikan lain adalah kos tenaga rendah di Sarawak. Sarawak mencatatkan kos elektrik paling rendah (dijana oleh kuasa hidro) berbanding seluruh benua Asia," katanya sambil menambah bekalan air juga tersedia pada kadar harga lebih rendah.

Awang Tengah berkata Sarawak berazam menjadi negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030 dengan mengeksport produk dan perkhidmatannya ke pasaran global.

Timbalan Ketua Menteri itu amat kagum dengan Pameran Makanan ANUGA dengan menyifatkannya sebagai platform terkemuka dengan lebih 7,400 pempamer dari lebih 100 negara.

Menurut penganjur, Koelnmesse, pameran itu telah menarik lebih 165,000 pengunjung perdagangan dari 198 negara. - Bernama

Advertisement