Anda di sini

Belanjawan 2020 bersifat komprehensif dan inklusif

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew menyifatkan Belanjawan 2020 adalah komprehensif dan inklusif kepada semua masyarakat Malaysia pelbagai peringkat dengan pertimbangan khas terhadap keperluan Sabah dan Sarawak.

Katanya, Belanjawan kali ini merangkumi semua sekmen dari pendidikan, kesihatan, kebajikan, infrastruktur sosio-ekonomi, perumahan, pelancongan, pertanian, pengeluaran, keusahawanan, industri, insentif pelaburan khas, infrastruktur digital dan keperluan sektor ekonomi lain.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, Sabah dan Sarawak kekal menjadi penerima peruntukan pembangunan tertinggi dari Belanjawan kali ini iaitu RM5.2 bilion (Sabah) dan RM4.4 bilion (Sarawak).

CHRISTINA
CHRISTINA

Katanya, tahun lalu Sabah hanya menerima RM1.14 bilion sementara Sarawak RM1.3 bilion.

"Antara berita baik yang lain adalah buat pertama kali sejak 1969, pemberian geran tahunan dari kerajaan persekutuan kepada Sabah (RM26.7 juta) dan Sarawak (RM16 juta) menerusi Perjanjian Malaysia 1963, dikaji semula.

"Kali ini geran itu ditingkatkan kepada RM53.5 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak bermula tahun hadapan.

"Untuk lima tahun seterusnya jumlah itu akan ditingkatkan kepada RM106.8 juta kepada Sabah dan RM64 juta kepada Sarawak," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan mengapa pembentangan itu tidak menyentuh mengenai 40 peratus peruntukan khas (berkaitan dengan hasil diperolehi dari Sabah) ketika menyentuh mengenai geran khas yang sepatutnya dikaji setiap lima tahun sejak 1969.

Katanya, RM5.2 bilion itu dilihat masih tidak mencukupi untuk pembangunan di kawasan pedalaman di Sabah yang kini semakin ketinggalan.

"Peruntukan sebanyak RM300 juta bagi pembaikan sekolah-sekolah usang juga tidak mencukupi. Saya akan terus bersuara tanpa rasa takut bagi mendapatkan keperluan sepatutnya di negeri ini," katanya.

Berkaitan dengan kenyataan kerajaan persekutuan untuk terus mengembalikan cukai pelancongan sebanyak 50 peratus kepada setiap kerajaan negeri sempena dengan Melawat Malaysia tahun 2020, Christina menjelaskan bahawa jumlah itu tidak mencukupi untuk penyelenggaraan pelbagai kemudahan di destinasi pelancongan sedia ada, ia tidak termasuk pembangunan destinasi baharu.

"Saya akan bahaskan keperluan pelancongan di Sabah yang memerlukan lebih banyak peruntukan daripada kerajaan Pusat pada sesi perbahasan minggu depan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement