Anda di sini

Sarawak dan Sabah tidak dipinggir dalam Belanjawan 2020 - Baru

Advertisement
 

KUCHING: Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam bukti Kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan Sabah dan Sarawak.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, tumpuan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dalam Belanjawan 2020 amat jelas, yakni berusaha merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

"Kami (Sabah dan Sarawak) agak ketinggalan dari segi pembangunan dan kerajaan PH amat menyedari dengan keadaan ini, sebab itu kita beri tumpuan tetapi kita tidak dapat laksanakannya dengan segera tetapi berperingkat, ini bukti kerajaan PH bertanggungjawab serta kita betul-betul memberi tumpuan kepada dua negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Parlimen, Kuala Lumpur semalam.

Namun, Baru menegaskan, pihaknya akan memastikan segala projek yang diumumkan itu akan dilaksanakan dengan baik.

"Tiada makna untuk kita umum peruntukan yang besar dan projek yang banyak tetapi tidak dilaksanakan dengan betul. Jadi kita pastikan projek-projek ini dilaksana dengan betul," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa lega apabila projek mega melibatkan Sabah dan Sarawak iaitu Lebuh Raya Pan Borneo diteruskan.

Malah, jelasnya, dalam belanjawan itu juga, kerajaan persekutuan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM600 juta untuk 40 kilometer Lebuh Raya Trans Borneo bagi jajaran Jalan Kalabakan-Serudong dan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) dan kuaters perumahan kerajaan.

"KKR telah mengemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) tentang perkara tersebut sebelum ini dan dalam Belanjawan 2020 ia diluluskan dengan peruntukan RM600 juta bagi 40 kilometer jajaran berkenaan.

"Ini akan menghubungi kawasan Sabah, Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia yang mana kita sedia maklum bahawa kerajaan Indonesia akan memindah ibu kota mereka ke Kalimantan. Ini berita baik untuk kita," tambahnya.

Selain itu, Baru yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berkata, menerusi Belanjawan 2020, kerajaan turut memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi Sabah dan Sarawak untuk merapatkan jurang pembangunan di negeri itu terutamanya di luar bandar.

Katanya, kerajaan juga akan membelanjakan RM500 juta untuk projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang memberi manfaat kepada lebih 30,000 isi rumah luar bandar di mana majoriti penerima faedah tinggal di Sabah dan Sarawak.

"Inilah beberapa perkara yang saya ambil maklum dalam Belanjawan 2020 dan selain itu MARRIS juga diberi peruntukan.

"Malah, kerajaan turut memberi Pemberian Khas untuk Sabah dan Sarawak yang belum pernah disemak semula sejak 1969 yang mana kerajaan berjanji untuk menggandakan kadar pemberian khas tersebut," jelasnya.

Pada masa sama beliau turut tertarik dengan perbelanjaan yang diumumkan untuk sekolah daif iaitu sebanyak RM783 juta yang mana kebanyakan peruntukan itu untuk Sabah dan Sarawak.

Menurutnya lagi, dalam belanjawan itu juga, RM319 juta untuk membina dan menaik taraf klinik kesihatan dan pergigin serta kuaters yang mana perbelanjan tersebut turut merangkumi Sarawak bagi projek membina klinik baharu di Long San dan Sungai Simunjan.

"Bagi saya, ini adalah berita baik untuk kita, belanjawan ini dibuat mengikut kemampuan kerajaan pada hari ini, ia perlu munasabah dan tanggungjawab," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement