Anda di sini

San Marino menjadi mangsa ‘amukan’ pasukan Belgium

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Kelayakan Euro 2020 Kumpulan I di antara Belgium dan San Marino di Brussels, Belgium. — Gambar Reuters
PERTEMBUNGAN SATU LAWAN SATU: Antara babak-babak aksi perlawanan Kelayakan Euro 2020 Kumpulan I di antara Belgium dan San Marino di Brussels, Belgium. — Gambar Reuters

PARIS: Belgium menjadi pasukan pertama untuk layak ke kejohanan akhir Kejohanan Eropah 2020 selepas Romelu Lukaku menjaringkan dua gol dalam kemenangan besar 9-0 ke atas San Marino di Brussels kelmarin, manakala Belanda memerlukan kebangkitan lewat untuk menewaskan Ireland Utara.

Lukaku membawa rekod jumlah jaringan antarabangsa bersama Belgium melepasi 50 gol manakala pendahulu Kumpulan I pimpinan Roberto Martinez membuka kelebihan 11 mata yang tidak dapat dikejar ke atas Cyprus di tempat ketiga dengan baki tiga perlawanan lagi.

Pasukan ranking nombor satu dunia itu menempah tempat mereka di kejohanan pada tahun depan, yang akan berlangsung di 12 venue seluruh Eropah, selepas tujuh kemenangan kelayakan berturut-turut.

Rusia nampak bakal menduduki tempat automatik kedua dari kumpulan tersebut selepas kemenangan 4-0 ke atas Scotland meletak mereka lapan mata di hadapan Cyprus.

Belgium merupakan antara pasukan pilihan untuk menjulang kejuaraan antarabangsa utama pertama bagi mereka apabila kejohanan Euro bermula pada 12 Jun tahun depan.

“Pada pandangan saya, sembilan negara memiliki bakat untuk memenangi kejohanan Euro,” kata jurulatih Martinez.

“Apa yang membawa perbezaan ialah bagaimana anda menangani cabaran. Ia adalah perlu untuk mengorbankan diri demi rakan sepasukan.”

Kemenangan mereka di Stadium Raja Badouin menangani rekod margin kemenangan mereka sebanyak sembilan gol, selepas pernah menewaskan Zambia dan Gibraltar 9-0 masing-masing pada 1994 dan 2017 selain membelasah San Marino 10-1 pada 2001.

“Sembilan kosong adalah keputusan yang bagus tetapi kami pasti ingin sekali menjaringkan satu lagi dan memecah rekod sepanjang zaman itu,” kata Lukaku, penyerang Inter Milan.

Pasukan The Oranje, yang mahu mara ke kejohanan akhir utama pertama sejak mereka menduduki tempat ketiga di Piala Dunia 2014, memiliki jumlah mata yang sama dengan Jerman dan Ireland Utara, yang sudah bermain lebih satu perlawanan, tetapi mendahului berdasarkan rekod yang sama.

Rusia memberikan kekalahan kelayakan keempat berturut-turut kepada Scotland yang bermakna peringkat playoff Liga Negara-Negara pada Mac tahun lalu adalah satu-satunya laluan bagi pasukan Scotland untuk layak ke Euro 2020.

Dua jaringan cantik Artem Dzyuba dan gol-gol daripada Magomed Ozdoev dan Aleksandr Golovin bermakna Rusia akan layak dengan keputusan seri di Cyprus esok (Ahad).

Croatia menguasai Kumpulan E dengan menewaskan Hungary 3-0 di Split, manakala Slovakia melonjak ke tempat kedua walaupun diikat 1-1 di tempat sendiri oleh Wales.

Slovakia ketinggalan pada separuh masa pertama apabila bekas pengawal keselamatan Kieffer Moore menjaringkan gol dalam penampilan kompetitif sulungnya pada peringkat antarabangsa untuk Wales, tetapi berjaya mengikat perlawanan hasil rembatan voley Juraj Kucka yang cantik pada minit ke-53.

Dalam perlawanan lain, Robert Lewandowski menjaringkan hatrik untuk menjaringkan 18 gol setakat ini pada musim ini bagi kelab dan negara, apabila Poland menang 3-0 di Lativia untuk mengukuhkan kedudukan mereka di tempat teratas Kumpulan G. — AFP

Advertisement