Anda di sini

RM4.4 bilion adalah antara peruntukan terbanyak diterima Sarawak: Chong

Advertisement
 

KUCHING: Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM4.4 bilion kepada Sarawak pada Belanjawan 2020, adalah antara peruntukan terbanyak diterima negeri ini daripada persekutuan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen berkata, Sarawak menerima 14.8 peratus daripada peruntukan keseluruhan Perbelanjaan Pembangunan yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Belanjawan 2020, semalam.

Dalam pembentangan berkenaan, Guan Eng berkata kerajaan persekutuan memperuntukkan RM297 bilion untuk keseluruhan belanjawan dan daripada jumlah itu RM241 bilion untuk operasi mengurus sementara selebihnya RM56 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan.

“Ini merupakan peruntukan terbanyak kepada Sarawak berbanding semasa kerajaan terdahulu (Barisan Nasional).

“Sarawak mendapat RM4.4 bilion iaitu sebanyak 14.8 peratus jumlah tersebut… semasa kerajaan terdahulu, tidak pernah menerima peruntukan sebanyak ini,” kata Chong ketika dihubungi di sini, semalam.

Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, belanjawan kali ini mesra perniagaan yang memperuntukkan pelbagai geran serta pengecualian cukai.

Katanya ia akan mendorong lebih banyak lagi keusahawanan selain memberi hala tuju yang jelas untuk sektor perniagaan ke arah ekonomi digital serta Revolusi Industri (RI) 4.0.

“Selain itu terdapat usaha gigih kerajaan untuk menggalakkan pekerjaan agar tidak bergantung kepada tenaga kerja asing. Begitu juga insentif besar untuk pekerjaan kepada wanita dan belia.

“Saya merasakan ramai yang akan mendapat manfaat daripada belanjawan ini. Ia menunjukkan bahawa kerajaan tidak korup dan wang pembayar cukai dapat membantu rakyat serta ekonomi negara berkembang,” tegas Chong.

Ahli Parlimen Stampin itu berharap kerajaan negeri akan bekerjasama dengan persekutuan untuk melaksanakan semua projek, yang mana peruntukan telah dibuat dalam Belanjawan 2020.

“Saya akan mengaturkan perjumpaan dengan pegawai-pegawai Kementerian Kewangan serta agensi kerajaan persekutuan berkaitan untuk memberi taklimat kepada sektor perniagaan di Sarawak.

“Ia mengenai semua geran, kemudahan dan insentif yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 agar sektor perniagaan di Sarawak dapat mengoptimumkan manfaat yang disediakan,” tegasnya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, semalam memberitahu, kerajaan PH terus komited mengutamakan keperluan Sabah dan Sarawak melalui pelbagai ‘goodies’ untuk kedua-dua negeri itu menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam.

Katanya, Sabah dan Sarawak kekal sebagai negeri yang menerima Perbelanjaan Pembangunan tertinggi dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion bagi tahun depan.

  • oleh
  • Advertisement