Anda di sini

Putin jamin Rusia patuhi tuntutan WADA bagi elak penggantungan

Advertisement
PUTIN
PUTIN

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin kelmarin berkata Moscow mematuhi semua tuntutan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), ketika Rusia berdepan dengan kemungkinan akan digantung lagi menjelang Olimpik Tokyo.

Rusia boleh diisytiharkan tidak patuh oleh WADA jika ia gagal untuk menjelaskan kenapa bukti bagi beberapa ujian positif yang diserahkan oleh seorang pemberi maklumat sulit tidak muncul dalam data yang disediakan oleh makmal anti-doping di Moscow pada Januari lalu.

“Kami bekerja sama secara aktif dengan WADA. Syarat yang dikemukakan oleh organisasi ini sedang dipatuhi sepenuhnya,” kata Putin di satu persidangan sukan di bandar Nizhny Novgorod.

“Atlet kami terutamanya mahu memastikan sebarang kekurangan yang ada kaitan dengan isu anti-doping terus kekal di masa lalu dan atlet Rusia dapat bersaing pada kedudukan yang sama rata,” katanya.

Persekutuan Olahraga Rusia sudah dilarang daripada menyertai pertandingan antarabangsa sejak 2015 berhubung satu konspirasi doping kendalian kerajaan yang luas dan besar, dan Persatuan Persekutuan-Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) pada bulan lepas melanjutkan larangan itu.

Pada bulan lepas, WADA memberi tempoh tiga minggu kepada Moscow untuk menjawab apa yang ia sebut sebagai “perkara tidak konsisten” dalam data berkenaan dari 2011-2015, ketika doping tajaan kerajaan adalah berleluasa.

Pada Selasa lepas, agensi itu berkata ia sudah menerima jawapan yang menurut Menteri Sukan Rusia Pavel Kolobkov menangani “semua syarat”.

Namun Yuri Ganus, ketua Agensi Anti-Doping Rusia RUSADA pada minggu ini mengecam pihak berkuasa sukan negara, dan menuduh mereka memanipulasi data sebelum menyerahkannya kepada WADA.

“Pihak berkuasa sukan Rusia telah mengejutkan seluruh dunia sekali lagi dengan manipulasi,” beliau menulis dalam surat terbuka yang diterbitkan pada minggu ini dalam laman RUSADA.

“Pihak berkuasa sukan harus memikirkan langkah untuk mengurangkan impak gelombang baharu dari krisis itu tetapi sebenarnya segalanya sedang dibuat sebaliknya dan jelas melanjutkan krisis itu untuk sukan kita.”

Ganus kemudian memberitahu majalah Der Spiegel di Jerman bahawa Rusia boleh menjangkakan “hukuman yang sukar”.

“Ia tidak mungkin satu kebetulan kerana perubahan kepada data adalah begitu besar dan signikan sekali,” katanya.

Sementara itu sumber anti-doping yang tidak mahu dikenali memberitahu AFP bahawa pasukan WADA “mempunyai bukti saintifik dan teknikal bahawa data sudah dpadamkan dari pangkalan data yang disalurkan” oleh Moscow.

Rusia menyerahkan ribuan fail dari makmal anti-doping di Moscow pada Januari lalu, seterusnya menunaikan syarat penting untuk dikembalikan semula oleh WADA pada September lepas.

WADA pernah memberi amaran bahawa ia akan melaksanakan “sekatan paling keras” jika ada data yang didapati telah diganggu.   

JIka Rusia mencabar penggantungan seterusnya oleh WADA, kes itu dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan yang berpangkalan di Switzerland, dan keputusan mahkamah akan mengikat badan sukan termasuk Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

RUSADA sudah digantung hampir selama tiga tahun berhubung dakwaan tentang salah laku termasuk konspirasi sistematik untuk menukar sampel tercemar di Olimpik Musim Salji Sochi 2014.

Sewaktu ia digantung oleh WADA, Rusia dibenarkan oleh IOC untuk mengambil bahagian dalam Olimpik Rio 2016 tetapi peserta dari Rusia di Sukan Musim Salji Pyeongchang terpaksa mengambil bahagian di bawah bendera neutral. — AFP

Advertisement