Anda di sini

Nilai bahasa berkait rapat dengan nilai ekonomi

Advertisement
 Jaujan (enam kanan) merakamkan gambar kenangan bersama para penerima Anugerah Citra Bahasa.
KENANGAN: Jaujan (enam kanan) merakamkan gambar kenangan bersama para penerima Anugerah Citra Bahasa.

KOTA KINABALU: Nilai sesuatu bahasa itu berkait rapat dengan nilai ekonomi atau kemajuan sesebuah negara.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, negara yang ekonominya berkembang pesat, bahasanya juga turut berkembang dengan pesat.

"Kesannya sekarang ini ratusan ribu masyarakat barat berlumba-lumba untuk mempelajari bahasa Mandarin di negara China kerana negara China telah muncul sebagai pusat ekonomi dunia yang paling pesat berkembang.

"Begitu juga bahasa Jepun, bahasa Perancis atau bahasa Jerman dipelajari kerana negara tersebut telah menjadi negara maju.

" Semua negara ini memberi nilai ekonomi pada bahasa mereka dengan menggunakannya dalam semua bidang," katanya ketika merasmikan Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaaan 2019 Peringkat Negeri, di sini semalam.

Beliau berkata, jika masyarakat negara ini bertekad untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju, maka seharusnya bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara ini, diberikan nilai ekonomi dan nilai komersil seiring dengan kemajuan negara.

Katanya, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dengan meluas dalam semua bidang, baik dalam sektor awam mahupun sektor swasta selaras dengan amalan di negara-negara maju yang menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing.

"Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan salah satu pemangkin utama dalam mewujudkan perpaduan di negara kita yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.

"Hubungan antara kaum dan etnik sentiasa menjadi agenda dalam usaha kerajaan untuk mencapai keharmonian masyarakat dan keamanan negara.

"Dalam hal ini, saya yakin unsur paling penting penyatuan bangsa dan pengukuhan negara ialah menyedari hakikat dan amalan bahasa jiwa bangsa," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, pelbagai langkah telah diambil oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam memastikan bahasa Melayu dihayati dan diterima oleh seluruh masyarakat.

Menurutnya, tiga dasar utama yang diberi penekanan oleh kerajaan dalam menjayakan matlamat tersebut, iaitu dasar pendidikan negara, dasar kebudayaan kebangsaan dan dasar penyiaran.

Bagaimanapun katanya, pembangunan bahasa kebangsaan pada era mendatang harus memberikan tumpuan kepada dua perkara, iaitu penegasan semula dasar bahasa negara dan penyelesaian beberapa masalah pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan.

Katanya, dalam Dasar Bahasa Negara, penegasan pelaksanaan dan penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan sejajar dengan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

"Peneguhan sikap penggunaan bahasa juga hendaklah diberikan tumpuan dalam pengisian program Sambutan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan.

"Pemupukan sikap dan peneguhan bahasa dalam kalangan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan tidak harus dipandang ringan kerana kita bimbang bahasa yang kurang diungkapkan dalam apa jua suasana akan menghilangkan kewibawaan.

"Kita khuatir bahasa Melayu yang kita sanjung selama ini akan hilang akarnya," katanya.

  • oleh
  • Advertisement