Anda di sini

MDLBS ambil langkah drastik kekang pembuangan sisa pepejal

Advertisement
 Sempurai (duduk, dua kanan), Lau (duduk, dua kiri), Justani (duduk, kanan) dan yang lain pada sidang media semalam.
MAKLUMAT: Sempurai (duduk, dua kanan), Lau (duduk, dua kiri), Justani (duduk, kanan) dan yang lain pada sidang media semalam.

SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) mengambil langkah lebih drastik mengekang aktiviti pembuangan sisa pepejal perindustrian dan pembinaan di kawasan tidak dibenarkan pentadbirannya.

Pengerusinya Sempurai Petrus Ngelai berkata, pihaknya  berulang kali membangkitkan isu ini dan mengeluarkan amaran kepada pihak terbabit supaya menghentikan aktiviti membuang sisa buangan di tempat tidak sepatutnya namun ia seperti tidak diendahkan.

“Setiap tahun situasi ini tidak menunjukkan peningkatan positif malah semakin teruk pada masa ini terutama di kawasan Rantau Panjang dan Sibu Jaya.

“Sebab itu, pada satu mesyuarat bersama ahli majlis dan pihak berkuasa kita bersetuju mengambil beberapa langkah lebih drastik bagi mengekang masalah ini berulang pada masa akan datang,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau memberitahu, antara langkah diambil dengan memberi notis kepada pihak didapati melakukan pembuangan sisa pepejal perindustrian dan pembinaan.

Jelasnya, pihak diberikan notis itu diarahkan menanggung kos pembersihan oleh kontraktor di kawasan terbabit.

“Langkah seterusnya kita kenakan adalah dengan me-ningkatkan rondaan di sekitar kawasan sering menjadi tempat pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa buangan mereka.

“Penguat kuasa dan ahli majlis kita mengenal pasti mereka dan jika kita berjaya menangkap dan mengenal pasti mereka terbabit kita kenakan denda serta-merta sebanyak RM500.

“Ini adalah mesej jelas kepada pihak melakukan pembuangan sisa industri dan pembinaan secara haram. Jika kita tidak melakukan apa-apa dari sekarang, perkara ini bertambah buruk pada masa akan datang,” tegasnya.

Dalam pada itu, Sempurai turut menggesa orang awam supaya menjadi mata dan telinga MDLBS dan pihak berkuasa tempatan dengan membantu menyalurkan maklumat jika mendapati terdapat aktiviti membuang sisa pepejal perindustrian dan pembinaan.

Jelasnya, dengan cara ini sedikit sebanyak membantu untuk membanteras kegiatan boleh mencemarkan alam sekitar.

“Jika menyedari kegiatan ini berlaku segera lapor kepada MDLBS dan NREB (Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar),” kata Timba-lan Pengerusi MDLBS Ro-bert Lau yang turut hadir.

Hadir sama Setiausaha MDLBS Justani Joni.

Advertisement