Anda di sini

Mayat mangsa lemas di Sungai Tekalit, Song dijumpai

Advertisement
 

SIBU: Mayat mangsa lemas yang terjatuh ke dalam Sungai Tekalit, Song dekat sini dijumpai dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua pagi ini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, mayat Seli Gong, 41, dijumpai pukul 10 pagi oleh pasukan bomba dan orang awam pada jarak satu kilometer dari Pos Kawalan Bomba.

"Mangsa disahkan meninggal dunia dan dibawa balik ke Song untuk diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis pada pukul 12 tengah hari.

Dalam kejadian pagi semalam, Seli dikatakan keluar rumah bersama seorang rakan untuk urusan membeli barang keperluan sembahyang di Rh Endah, Nanga Sepayang Tekalit.

Semasa di Nanga Sepayang, mangsa turut dibawa oleh rakannya itu pergi menanam padi dan sebelum balik mangsa telah dipesan oleh orang kampung supaya jangan balik dalam keadaan mabuk atas sebab keselamatan tetapi tidak diendahkan.

Tidak lama selepas itu, seorang lelaki yang tinggal di Nanga Latong ternampak sebuah perahu yang hanyut tetapi tiada orang, terus memaklumkan penduduk di Rh Changgai.

Lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song diketuai PBK II Nasihin Jaum bergegas ke lokasi melakukan operasi SAR selepas menerima panggilan kejadian pada pukul 10.30 pagi.

Operasi itu juga telah disertai oleh orang kampung, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Kesihatan.

  • oleh
  • Advertisement