Anda di sini

Masyarakat India Sarawak berharap ada peruntukan untuk mereka dalam Belanjawan 2020

Advertisement
 

KUCHING: Komuniti India di Sarawak berharap peruntukan RM100 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 untuk Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) dapat dinikmati masyarakat itu di negeri ini. 

Timbalan Setiausaha Persatuan India Kuching (IAK) Ahtmanathan Vengidasalam berkata, sudah menjadi harapan agar peruntukan yang disediakan kerajaan persekutuan itu dapat dimanfaatkan seluruh komuniti India di seluruh negara termasuk di negeri ini. 

"Kita amat berharap peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 kepada Mitra dapat disalurkan kepada komuniti India di seluruh Sarawak. 

"Ini sudah tentunya akan memberi impak positif terhadap usaha mentransformasikan masyarakat India terutamanya mereka berpendapatan rendah (B40)," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Amal Deepavali 2019 di Dewan IAK di sini hari ini. 

Pada masa sama Ahtmanathan memberitahu, IAK menyambut baik Belanjawan 2020 yang tidak mengenepikan masyarakat India di negara ini. 

"Saya berpandangan Belanjawan 2020 amat bagus kerana kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) sekali lagi memperuntukkan geran kepada Mirta yang merupakan antara pertubuhan terbesar masyarakat India di bawah unit transformasi. 

"Sangat berterima kasih kepada kerajaan PH kerana mereka melakukan tanggungjawab dengan baik," tambahnya. 

Dalam pada itu, beliau mendedahkan, pada Belanjawan 2019, masyarakat India di Sarawak belum menerima peruntukan daripada Mitra. 

"Tahun lepas kita belum menerima dana dari Mitra dan kita dimaklumkan ahli berhormat yang bertanggungjawab terhadap Mitra bahawa Sabah dan Sarawak akan dipertimbangkan dan termasuk dalam perancangan untuk menerima sebahagian daripada peruntukan yang diterima Mitra pada tahun hadapan. 

"Inilah harapan kita bagi seluruh komuniti India di Sarawak agar bersama-sama dapat menikmati peruntukan yang disediakan," ujarnya. 

Mitra merupakan unit transfirmasi bagi menambah baik sosioekonomi, kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan wanita serta pembangunan kemahiran masyarakat India di negara ini. 

  • oleh
  • Advertisement