Anda di sini

Maraton: Kipchoge yakin dapat berlari di bawah masa dua jam

Advertisement
 Kipchoge memberikan ‘pose’ kepada jurugambar semasa sidang media di Vienna. — Gambar AFP
SEDIA: Kipchoge memberikan ‘pose’ kepada jurugambar semasa sidang media di Vienna. — Gambar AFP

VIENNA: Juara dunia dan Olimpik dari Kenya Eliud Kipchoge kelmarin berkata dia rasa yakin dapat berlari di bawah masa dua jam yang umpama mitos dalam sukan maraton pada hujung minggu ini, satu pencapaian yang dia anggap sama penting dengan pendaratan pertama oleh manusia di atas bulan.

Pelumba berusia 34 tahun itu akan melakukan cubaan itu pada hari ini (Sabtu) di Vienna dalam sebuah taman yang amat besar di mana laluan telah disediakan secara khusus untuk menjadikannya serata mungkin. Dua tahun lalu dia cuba, dan gagal dengan teruk, di Monza, Itali.

Kipchoge sudah memegang rekod dunia lelaki bagi jarak itu dengan catatan masa 2 jam 01 minit 39 saat, yang dia cipta dalam maraton mendatar di Berlin pada 16 September 2018.

Namun sekarang, di atas permukaan yang sebahagian telah diturap semula dan disediakan dengan ciri-ciri lain seperti selekoh yang dapat menjimatkan masa dan mengelak kecederaan, dia mahu mencipta rekod baharu. Dia akan dibantu oleh penentu rentak, yang bergilir-gilir untuk menyokongnya.

Disebabkan oleh cara larian itu dirancang dan dibuat-buat, IAAF tidak akan mengesahkan masanya sebagai satu rekod dunia.

“Vienna adalah mengenai berlari dan mencipta sejarah di dunia ini, seperti manusia pertama yang pergi ke bulan,” kata Kipchoge kepada pemberita kelmarin di satu sidang akhbar di ibu negara Austria, dan menambah dia mahu menunjukkan “tiada manusia yang terbatas”.

“Litar itu amat bagus sekali. Saya gembira dengan litar itu,” katanya dan menambah dia cuba “tenang sejauh mungkin” untut hari ini.

Litar sejauh 42.195 kilometer telah disediakan sedemikian rupa supaya ia memberi masa kira-kira 4.5 saat lebih berbanding litar rata dan lurus sepenuhnya yang disimulasi oleh komputer, menurut satu analisis oleh pakar sukan di Universiti Vienna.

Pada keseluruhannya, dia hanya perlu menuruni ketinggian 26 meter dan naik 12 meter, kata pakar.

Kipchoge mencuba usaha itu pada Mei 2017 di litar lumba Autodrom Nasional Monza di Itali, dan menamatkan larian dalam masa dua jam 00 minit 25 saat.

Dia berkata dia lebih kuat dari segi mental sekarang dan dia “yakin” dia dapat mencapainya “pada kali kedua”.

“Latihan saya sama, jurulatih saya sama, pengurusan saya, segalanya adalah sama. Sekarang pemikiran berlainan,” katanya.

“Saya rasa lebih bersiap sedia. Saya rasa lebih bersedia.”

Kipchoge akan memulakan lariannya antara jam 5.00 pagi hingga 9.00 pagi - masa sebenar ditetapkan semalam - dalam keadaan cuaca yang baik: kelajuan angin yang sangat rendah, suhu 5 hingga 9 darjah Celsius, dan tiada hujan, menurut penganjur.

Pengasas penaja utama, Ineos, iaitu bilionair British,Jim Ratcliffe, berminat secara peribadi dalam cabaran itu kerana dia sendiri bertanding dalam triatlon Ironman. — AFP

Advertisement