Anda di sini

Liga KDM Malaysia: Sepanggar intai gelaran juara berganda

Advertisement
GARIN
GARIN

KOTA KINABALU: Pasukan KDM Sepanggar intai gelaran juara berganda edisi kedua Liga Bola Sepak KDM Malaysia 2018-2019.

Timbalan Pengurus Pasukan, Redzuan Garin Ismaila berkata, mereka sedang giat membuat persiapan termasuk dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi memastikan pemain berada di tahap terbaik.

"Esok (hari ini) kami akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Pisgo FT di padang Pekan Papar. Sepak mula pada jam 3.45 petang," kata Garin ketika dihubungi semalam.

Pisgo FT ialah juara Liga Lawas Piala Datuk Amar Awang Tengah di Sarawak baru-baru ini.

Sepanggar berpeluang merangkul gelaran juara berganda selepas layak ke final pertandingaan liga dan Piala FA kejohanan tempatan terbesar berkenaan.

Final pertama kejohanan itu ialah untuk pertandingan Piala FA di mana Sepanggar akan menghadapi cabaran KDM Semporna yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas pada 20 Oktober.

Final kedua adalah untuk pertandingan liga yang juga pertandingan utama kejohanan itu di mana Sepanggar akan berhadapan cabaran KDM Telupid. Tarikh dan venue final liga belum dimuktamadkan tetapi dijangka akan diadakan penghujung bulan ini.

"Kejayaan Sepanggar melangkah ke dua perlawanan akhir (liga dan Piala FA) adalah satu pencapaian yang amat membanggakan. Ini adalah hasil komitmen semua pihak. Bagaimanapun, perjuangan belum selesai.

"Saya harap pemain akan terus berusaha gigih dan memberi sepenuh tumpuan untuk menamatkan cabaran dengan kejayaan dalam kedua-dua perlawanan akhir nanti," kata Garin.

Kejohanan itu adalah anjuran Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan Sabah (KBSS) dan merupakan edisi kedua selepas diperkenalkan pada musim 2014-2015.

Ia dipelopori Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

"Kejohanan ini adalah landasan positif terhadap pembangunan bola sepak di mana ia memberi ruang dan peluang terbaik mengetengahkan bakat pemain," kata Garin.

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM300,000 di mana juara pertandingan liga akan menerima hadiah wang tunai RM100,000; kedua RM50,000; ketiga RM30,000 dan keempat RM15,000.

Lapan pasukan yang kandas di suku akhir masing-masing akan menerima RM2,000.

Turut disediakan ialah hadiah wang tunai RM500 untuk anugerah Pemain Terbaik Final, Penjaring Terbanyak dan Penjaga Gol Terbaik Final serta RM2,000 untuk anugerah Fair Play.

Juara Piala FA pula akan menerima wang tunai RM50,000 manakala naib juara RM10,000.

  • oleh
  • Advertisement