Anda di sini

Kuching FA miliki senjata rahsia

Advertisement
 Pemain-pemain Kuching FA berikrar mengejutkan pendahulu Liga M3, Kelantan United di Stadium Sarawak, Petra Jaya Kuching malam ini.
MENGEJAR MISI: Pemain-pemain Kuching FA berikrar mengejutkan pendahulu Liga M3, Kelantan United di Stadium Sarawak, Petra Jaya Kuching malam ini.

KUCHING: Pengendali Kuching FA, Ideris Untong optimis anak-anak buahnya mampu menjinakkan pendahulu Liga M3, Kelantan United apabila kedua-dua pasukan itu bersemuka di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini malam ini.

Mengakui peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang, Ideris bagaimanapun menegaskan bahawa beliau mempunyai senjata rahsia untuk dipertaruhkan bagi merealisasi misi besar pasukan Kuching FA itu.

“Ini adalah perlawanan yang sukar dan peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang. Namun, saya tetap yakin kita mampu menewaskan Kelantan United di laman sendiri (malam ini).

“Saya akan menerapkan sedikit kelainan dalam corak serangan kita malam esok (malam ini) untuk mengelak dihidu pasukan lawan.

“Pemain-pemain juga tidak sabar untuk turun beraksi menentang pendahulu liga dan memastikan tiga mata menjadi milik kita,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini semalam.

Pengendali berusia 45 tahun itu berkata, beliau akan melakukan sedikit perubahan pemain-pemain berikutan ketiadaan beberapa pemain utama.

Katanya, Kuching FA akan beraksi tanpa khidmat, Mohd Shahfitri Salem yang mengalami kecederaan serius dan digantung satu perlawanan.

Turut direhatkan penjaring gol pertama ketika Kuching FA menentang Protap FC minggu lalu, Samsu Alam Samad yang mengalami masalah 'harmstring'.

“Kedua-duanya mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi. Kita juga masih kehilangan Mohd Hairol Mokhtar dan Awang Mohd Tarmizi Awang Mahdini juga akibat kecederaan.

“Namun, ia tidak akan menjejaskan persiapan kita kerana saya masih ada pemain-pemain yang boleh menggalas tugas untuk mencapai misi memburu kemenangan,” katanya.

Kuching FA ketika ini menduduki tangga kedua dengan mengumpul 50 mata daripada 15 kemenangan, lima kali seri dan sekali tewas daripada 21 perlawanan.

Manakala Kelantan United gah di puncak liga M3 dengan mengumpul 59 mata daripada 19 kemenangan, dua seri dan sekali tewas daripada 22 perlawanan.

  • oleh
  • Advertisement