Anda di sini

KKTP guna konsep zon untuk pelabur asing membeli hartanah di Sabah

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) bercadang untuk mengguna pakai konsep mengikut zon di satu-satu tempat yang boleh dibeli oleh pelabur asing dengan harga RM600,000 seunit.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berpendapat, terdapat beberapa pilihan untuk memberi laluan kepada para pemaju perumahan untuk menjual hartanah mereka kepada pelabur asing dengan harga sedemikian berbanding kini RM1 juta.

"Sebagai contohnya di Kota Kinabalu, mungkin sebelah utara daerah ini kita benarkan unit rumah itu dijual kepada pelabur asing dengan harga itu.

JAUJAN
JAUJAN

"Ianya jangan bercampur dengan pembeli orang tempatan memandangkan ramai dalam kalangan rakyat kita masih bergantung dengan subsidi perumahan sedia ada," katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, cadangan mengkategorikan perkara itu hanya untuk pelabur asing yang berminat membeli hartanah di sini dan pada masa yang sama dasar berterusan membantu rakyat diteruskan.

Katanya, terdapat permintaan dalam kalangan pemaju rumah yang menjelaskan hartanah mereka di kawasan bandar tidak terjual.

"Masalahnya adalah mereka yang memerlukan rumah adalah golongan B40, mereka golongan yang selalunya susah untuk diluluskan pinjaman bank disebabkan mempunyai komitmen tinggi.

"Walaupun kelmarin pembentangan Belanjawan 2020 membenarkan pelabur asing membeli rumah pada harga RM600,000 tetapi kita di Sabah akan mengkaji semula harga berkenaan," katanya.

Jaujan yang juga Menteri KKTP berkata, terdapat pandangan masyarakat yang menjelaskan sekiranya harga rumah berkenaan diturunkan kepada pelabur asing, orang tempatan di sini mempunyai peluang yang terhad untuk memiliki rumah sendiri di masa hadapan.

Katanya, pelabur asing khususnya dari Hong Kong, China dan negara lain mempunyai mata wang yang tinggi berbanding Malaysia. Harga seumpamanya itu adalah murah bagi mereka.

"Di Sabah, kita akan membawa perkara ini ke peringkat Kabinet untuk dibincangkan kerana keadaan itu akan memberikan kerisauan kepada masyarakat golongan berpendapatan rendah di negeri ini," katanya.

Sementara itu katanya, Kerajaan Sabah juga berterima kasih kepada Kerajaan Pusat yang memperuntukan geran RM3 bilion seluruh negara untuk perumahan  Skim Pembiayaan Sewa Untuk Memiliki (RTO).

Beliau percaya geran itu adalah untuk bank perdagangan kerana masalah yang timbul pada hari ini dan kerajaan terdahulu adalah rumah-rumah mampu milik harga sederhana atau berkaitan dengannya menggunakan cara sewa sepanjang hayat.

"Baru-baru ini Kerajaan Pusat sudah meluluskan konsep RTO dan perkara ini akan diperhalusi dari segi cara pengendalian," katanya.

Dalam pada itu, Jaujan berterima kasih kepada Kerajaan Pusat yang membentangkan Belanjawan kali ini menjurus kepada kehendak rakyat.

Katanya, Sabah menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM5.2 bilion dan ianya diharapkan dapat segera diturunkan seawal tahun hadapan untuk mempercepatkan proses pembangunan kemudahan di kawasan luar bandar.

"Kita masih belum tahu sama ada peruntukan itu diturunkan sekaligus atau secara berperingkat, tetapi ianya diberikan pada awal tahun hadapan tanpa ada kelewatan.

"Kelewatan itu akan menjejaskan pembangunan yang sudah dirancang," katanya.

Menurutnya, pelbagai jumlah peruntukan pembangunan diberikan untuk kemajuan kemudahan asas tidak diperincikan sebaliknya disatukan dengan Sarawak.

Katanya, contohnya peruntukan pembangunan bekalan air adalah sebanyak RM477 juta kepada Sabah dan Sarawak, pembangunan elektrik luar bandar (RM500 juta), dan banyak lagi.

"Kerajaan negeri juga ada mengemukakan keperluan Belanjawan untuk kemudahan bekalan air bersih di sini, saya harap setelah diperincikan nanti Sabah mendapat angka yang dicadangkan.

"Sekiranya kurang daripada permintaan itu, maka sudah pasti ia akan menjejaskan perancangan kita untuk segera memperkasakan kemudahan asas seperti air. Perkara yang sama juga terhadap peruntukan lain yang disekalikan dengan Sarawak," katanya.

Beliau berkata, projek Trans Borneo yang menghubungkan Sabah Sarawak sejauh 165 kilometer turut menerima peruntukan RM600 juta.

"Kita tidak tahu sama ada ianya adalah lebuh raya Pan Borneo atau hanya Trans Borneo sahaja.

"Sekiranya berasingan, maka ianya berita baik, tetapi sekiranya ia termasuk Pan Borneo, peruntukan itu adalah seperti tahun lalu, sedangkan Pan Borneo memakan kos lebih RM1 bilion," katanya.

Menurutnya, sebanyak RM600 juta juga diperuntukan untuk pembinaan laluan sejauh 40 kilometer menghubungkan Sabah dengan Kalimantan.

Katanya lagi, semua pembangunan yang dilaksanakan nanti wajib mengutamakan kualiti khususnya jalan raya dan kemudahan asas yang lain.

Sebelum itu sidang media itu, Jaujan turut menyempurnakan Program Larian 'Planners Run 2019 - Run For Green' Sempena Hari Perancang Bandar Sedunia 2019.

  • oleh
  • Advertisement