Anda di sini

Kenaikan geran bukti keikhlasan kembalikan hak, keistimewaan Sarawak, Sabah

Advertisement

KUCHING: Kenaikan pemberian geran khas tahunan kepada Sarawak dan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan menunjukkan keikhlasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan hak dan keistimewaan dua negeri ini di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menyambut baik perkara ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How berkata perkara ini sudah lama dinantikan rakyat negeri ini termasuk di Sabah.

See yang juga naib pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berkata kali terakhir semakan semula pemberian geran khas ini dibuat adalah pada 1969 meskipun termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan bahawa semakan perlu dibuat setiap lima tahun.

Menurut See dengan semakan semula pemberian geran khas ini, peruntukan bagi Sarawak akan meningkat daripada RM32 juta kepada RM53 juta setahun bagi tempoh lima tahun akan datang

“Meskipun kenaikan adalah 65 peratus atau RM21 juta, tetapi jumlah ini dapat memberi tambahan kepada kewangan negeri terutama ketika negeri ini memulakan pelan untuk membangunkan Sarawak.

“Kredit harus diberikan kepada kerajaan PH kerana mengambil langkah signifikan ini yang mana gagal dibuat oleh kerajaan terdahulu selama 50 tahun memerintah negara.

“Dengan keikhlasan yang ditunjukan kerajaan sedia ada, saya optimis bahawa kita akan mencapai hak dan keistimewaan kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Belanjawan 2020 yang dibentang Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat semalam.

Mengulas lebih lanjut mengenai belanjawan kali ini, See berkata Sarawak dan Sabah terus menikmati agihan peruntukan yang signifikan iaitu masing-masing RM1.3 bilion dan RM1.14 bilion bagi pemberian kerajaan persekutuan.

Manakala bagi perbelanjaan pembangunan pula, Sarawak dan Sabah masing-masing menerima agihan peruntukan sebanyak RM4.4 bilion dan RM5.2 bilion.

Belanjawan 2020 katanya, juga fokus kepada pembangunan luar bandar di Malaysia terutama dalam pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar katanya,  menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM8.415 bilion diikuti Kementerian Kerja Raya (RM8.032 bilion).

“Saya berharap kerajaan persekutuan dan negeri akan mengetepikan perbezaan politik dan sama-sama berusaha untuk memastikan ekonomi dan pembangunan infrastruktur Sarawak dilonjakkan,” katanya.

Advertisement