Anda di sini

Jejambat lebuh raya runtuh di timur China, tiga maut

Advertisement
 Kenderaan dan anggota penyelamat dilihat bekerja di tapak di mana sebuah jejambat lebuh raya runtuh                          di Wuxi, wilayah Jiangsu, China kelmarin. — Gambar China Daily/Reuters
INSIDEN MALANG: Kenderaan dan anggota penyelamat dilihat bekerja di tapak di mana sebuah jejambat lebuh raya runtuh di Wuxi, wilayah Jiangsu, China kelmarin. — Gambar China Daily/Reuters

BEIJING: Tiga orang terbunuh dan dua tercedera di timur China apabila sebuah jejambat lebuh raya runtuh dan menimpa beberapa kereta di bawahnya, menurut beberapa pegawai tempatan semalam.

Beberapa rakaman video yang dipaparkan dalam talian menunjukkan sebahagian besar daripada jambatan tersebut di wilayah Jiangsu bergoyang sebelum jatuh ke atas kenderaan yang bergerak pada malam kelmarin.

Satu klip dipaparkan di Weibo yang sama seperti Twitter menunjukkan jambatan nyaris menimpa sebuah kereta kecil tiga tayar, yang mana pemandunya telah melompat keluar dan melarikan diri.

Gambar lain menunjukkan kereta yang dihempap, dengan hanya bahagian depan atau lampu depan yang kelihatan di bawah satu blok besar konkrit kelabu.

Satu siasatan awal menunjukkan keruntuhan adalah berpunca daripada sebuah trak yang terlebih beban, kata kerajaan bandar Wuxi dalam satu kenyataan di Weibo.

Tiga kenderaan – termasuk sebuah yang diparkir dan tiada penumpang – telah musnah, dan tiga orang di dalam dua kereta lain terbunuh, menurut kenyataan tersebut.

Lima kenderaan berada di atas dek jambatan, termasuk dua trak.

Keruntuhan turut menyebabkan dua orang tercedera, tambah kenyataan itu.

Kemalangan jalan raya dan pembinaan adalah bukan perkara luar biasa di China.

Pada Februari 2018, sekurang-kurangnya lapan orang maut di luar bandar Foshan, wilayah Guangdong, apabila satu kebocoran air di dalam kawasan pembinaan stesen bawah tanah menyebabkan sebuah jalan raya utama runtuh. — AFP

Advertisement