Anda di sini

Jasa pesara perkhidmatan awam dihargai

Advertisement
 Rosmadi (kiri,tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada antara 100 pesara perkhidmatan awam.
BERSARA: Rosmadi (kiri,tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada antara 100 pesara perkhidmatan awam.BERSARA: Rosmadi (kiri,tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada antara 100 pesara perkhidmatan awam.

SANDAKAN: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, meskipun kerajaan mengamalkan perbelanjaan berhemah, namun kerajaan sentiasa dan akan terus menghargai sumbangan serta kebajikan bekas anggota perkhidmatan awam yang telah bersara.

Beliau berkata, ini terbukti dengan pemberian beberapa kemudahan atau linstentif untuk kebaikan anggota perkhidmatan awam itu sendiri.

"Antaranya pencen bulanan bagi yang memilih perkhidmatan berpencen dan kemudahan serta rawatan kesihatan,"katanya ketika merasmikan Majlis Jasamu Dikenang Pesara Zon Sandakan di Hotel Four Points by Sheraton Sandakan, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.

Ia melibatkan 100 pesara dari daerah Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Tongod, Telupid dan Daerah Kecil Paitan.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga atas khidmat bakti, semangat, dedikasi dan kesabaran yang tinggi serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh pesara kerajaan selama ini.

"Perkhidmatan pesara kepada kerajaan merupakan satu nostalgia yang sukar dilupakan apatah lagi sekiranya telah berkhidmat dalam jangkamasa yang begitu lama." katanya.

Poon berkata, walaupun telah meninggalkan perkhidmatan awam, beliau berharap agar mereka akan terus melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan yang dapat memberi manafaat kepada masyarakat baik anjuran kerajaan mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sentiasa dapat membantu menyebarkan maklumat yang tepat dan berkesan kepada rakan dan masyarakat setempat.

"Peranan pesara sememangnya masih relevan dalam menyampaikan dan menjelaskan isu-isu dan dasar-dasar semasa kerajaan," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kebiasaannya penghijrahan ke alam persaraan atau selaku orang awam adalah proses yang mungkin sukar diadaptasi oleh pesara di peringkat awalnya.

“Sudah menjadi rutin selaku penjawat awam untuk bangun di awal pagi bersiap ke tempat kerja atau pejabat.

"Proses perubahan ini pastinya memerlukan masa kerana ada di kalangan mereka yang masih lagi merasai keseronokan dan merindui suasana persekitaran tempat kerja," katanya.

Beliau berkata, pesara mesti bersedia dari pelbagai aspek dalam menghadapi proses penyesuaian diri dengan fasa kehidupan baharu sebagai pesara.

"Buat perancangan masa depan yang boleh memberikan manafaat baik diri sendiri maupun masyarakat sekeliling.

"Apa yang penting, jalani kehidupan dengan memberikan penumpuan terhadap pemakanan dan gaya hidup sihat kerana tidak ada yang lebih berharga selain dianugerahkan kesihatan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Poon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat berkata,  amalan berbelanja berjimat-cermat adalah sangat penting, iaitu berbelanja mengikut kemampuan dan keutamaan apabila bersara.

“Pesara juga harus menyesuaikan keperluan perbelanjaan dengan keadaan yang mendatang. Ini kerana masa persaraan mempunyai cabaran terutamanya dari segi kewangan kerana pesara kerajaan tidak lagi mendapat gaji penuh tetapi hanya 60% daripada gaji pokok sahaja dan akan kurang lagi jika tempoh perkhidmatan kurang daripada 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata mereka perlu bijak merancang untuk tabungan dan menyimpan wang walau sedikit bagi menikmati keuntungan kelak.

"Walaupun ada di kalangan anak-anak mereka yang menghulurkan duit belanja untuk perbelanjaan harian, namun perlu diingat kos kehidupan sekarang semakin hari semakin meningkat. Berjimat dan berpada-pada menggunakan wang persaraan anda," katanya.

Pada majlis itu, taklimat pesara turut disampaikan oleh Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Sabah, Datuk Wilfred Lingham.

Turut hadir, Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Mashor Mohd. Jaini, Timbalan Presiden II Majlis Perbandaran Sandakan, Johny Ronggitom, pegawai dan wakil pegawai daerah sekitar Sandakan serta 100 pesara yang diraikan.

  • oleh
  • Advertisement