Anda di sini

Harap Sarawak berpuashati dengan peruntukan RM4.4 bilion

Advertisement
Lim ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, semalam.
Lim ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, semalam. - Gambar Bernama.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sarawak diharap berpuas hati dengan peruntukan yang diberi dalam Belanjawan 2020 kerana kerajaan pusat telahpun menambah sekali ganda jumlah peruntukan berbanding dengan bajet terdahulu. 

Belanjawan 2020 memperuntukkan RM5.2 billion untuk Sabah dan RM4.4 billion untuk Sarawak. 

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Sarawak merupakan negeri kedua tertinggi yang menerima peruntukan Belanjawan 2020 selepas Sabah. 

"Itu menunjukkan pihak kerajaan Persekutuan memberikan keutamaan kepada Sabah dan Sarawak di mana mereka memperoleh peruntukan yang tinggi (berbanding negeri-negeri lain)," katanya kepada pemberita di taklimat pasca-Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini. 

Beliau menjawab keluhan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr. Sim Kui Hian yang tidak berpuas hati dengan peruntukan kerajaan Persekutuan untuk negeri bumi kenyalang itu yang dianggapnya tidak mencukupi.

Lim mempersoalkan kenapa isu itu harus timbul kerana kerajaan negeri Sarawak tidak pernah dapat peruntukan setinggi ini daripada pentadbiran kerajaan persekutuan yang dulu.

"Semakan (peruntukan bagi negeri Sarawak) tidak dibuat sejak tahun 1969 tetapi kami (Pakatan Harapan) telah melaksanakannya dengan  tambahan sekali ganda.

"Sekiranya sewaktu pentadbiran kerajaan lama mereka boleh berpuas hati sungguhpun dapat jumlah yang kurang, tetapi mengapa kini mereka sudah dapat lebih mereka masih tidak berpuas hati?," tanya beliau. - BERNAMA

Advertisement