Anda di sini

Guna teknologi untuk memajukan sektor pertanian

Advertisement
 Uggah dan Kuek menunjukkan minyak yang diperah di Loji Perintis Fasiliti Lembah Bio Sarawak, Curtin Malaysia.
BERPOTENSI: Uggah dan Kuek menunjukkan minyak yang diperah di Loji Perintis Fasiliti Lembah Bio Sarawak, Curtin Malaysia.

MIRI: Kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya Loji Perintis Fasiliti Lembah Bio Sarawak (LPFLBS) di Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) mentransformasikan sektor pertanian di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata teknologi itu dapat membantu Sarawak menghasilkan produk boleh dieksport ke luar negara.

“Kita perlukan teknologi tinggi memastikan produk pertanian Sarawak kompetitif dan memenuhi standard eksport. Apa yang kita perlukan teknologi dapat membantu pemprosesan produk ini,” katanya kepada Utusan Borneo selepas melawat loji tersebut di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu diberi taklimat oleh Dekan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Pengarah Curtin Malaysia Research Institute (CMRI) Profesor Clem Kuek mengenai peranan LPFLBS.

Fasiliti menelan kos RM60 juta itu merupakan kerjasama kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan dan Curtin Malaysia di mana kerajaan membiayai kos pembinaan manakala Curtin menyediakan tenaga kepakaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D).  

Sebelum ini ia dikendalikan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi melalui Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC).

“Dalam hal ini, kita sudah ada fasiliti dilengkapi teknologi di Curtin Malaysia. Tidak wajar membina fasiliti baharu memandangkan kita boleh menggunakan loji ini yang dibina menggunakan peruntukan besar,” kata Uggah.

Terdahulu, Kuek memberitahu bahawa loji itu direka untuk proses pengalihan bahan daripada biodiversiti (tumbuhan dan mikroorganisme) dan sektor berasaskan bio (hortikultur, pertanian dan akuakultur) sebagai sumber bioekonomi Sarawak.

“Memandangkan loji perintis menggunakan sistem SFE ini merupakan ketiga di Malaysia dan satu-satunya fasiliti terletak di Malaysia Timur maka ini adalah peluang terbaik Curtin Malaysia mengetuai kepakaran membangunkan produk bio bernilai tinggi,” katanya.

Loji ini menggunakan sistem skala perintis Supercritical Fluid Extraction (SFE), buatan Austria berharga RM4.2 juta.

Beliau berkata, antara kebaikan sistem SFE ialah ia mampu mengeluarkan bahan mentah yang ditakrifkan seperti resin, lemak dan minyak dalam kuantiti skala perintis sebelum dijadikan produk komersil.

“Ia boleh dijalankan secara skala analisis atau perintis kerana menjimatkan masa dan kos, tidak menjejaskan alam sekitar menyebabkan SFE lebih baik berbanding kaedah ekstrak lain,” katanya.

Kuek menambah, sebelum ini banyak penyelidikan dilakukan di makmal-makmal mengenai potensi komersial tumbuhan tradisional namun tanpa loji perintis sukar  meyakinkan industri mengambil risiko menghasilkan produk tersebut.  

Selepas taklimat, Uggah diiringi isterinya, Datin Amar Doreen Mayang, Kuek dan Ketua Pegawai Operasi Curtin Malaysia William Pieter Pottas turut melawat makmal, fasiliti dan mesin perahan di loji tersebut.

  • oleh
  • Advertisement