Anda di sini

Generasi muda perlu tapis maklumat di media sosial

Advertisement
 Forum Apa Kata Anak Malaysia.
FORUM: Forum Apa Kata Anak Malaysia.

PAPAR:  Generasi muda perlu berhati-hati dan menapis maklumat yang tersebar dalam semua platform media sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata, generasi kini berdepan dengan banyak cabaran terutamanya pendedahan terhadap pelbagai maklumat dalam media baharu seperti Facebook, Whatsapp, Twitter, Blog, Wechat dan Instagram.

"Pada hari ini, banyak maklumat palsu berunsur tohmahan dan fitnah disebarluas serta ditular untuk mempengaruhi jiwa dan minda masyarakat.

 Wasrin (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ghulam (tengah).
CENDERAHATI: Wasrin (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ghulam (tengah).

"Sekiranya maklumat palsu berunsur provokatif dan negatif ini dikongsi tanpa memikirkan akibatnya, sudah tentu memberi kesan buruk terhadap hubungan antara kaum, agama dan budaya.

"Dalam negara yang berbilang kaum, agama dan budaya ini, kita akan menghadapi keadaan yang sukar jika unsur-unsur berbentuk perkauman dan isu-isu keagamaan dicetuskan di media sosial.

"Hal ini juga akan menyebabkan perpecahan kaum dan agama apabila golongan anarki menyebarkan fahaman mereka untuk menghancur perpaduan serta menjatuhkan kerajaan secara tidak demokrasi," tegasnya.

Dalam pada itu, Ghulam turut menyeru generasi Y agar mempunyai jati diri tinggi bagi memastikan negara mencapai kemajuan dan keamanan yang berterusan.

"Sebagai generasi pelapis negara, anda harus mempunyai cita-cita besar untuk mencorakkan masa depan negara ini menjadi negara maju dan harmoni," ujarnya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pegawai Daerah, Ghulam Rasul Hapil pada Program 'Apa Kata Anak Malaysia dan Pewaris Muda' anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut, kelmarin.

 Antara tetamu dan peserta yang hadir pada program itu.
HADIR: Antara tetamu dan peserta yang hadir pada program itu.

Turut berlangsung, Forum Apa Kata Anak Malaysia: Sayangi Malaysiaku yang membincangkan topik "Rukun Negara, Sumbangan Generasi Muda Kepada Negara dan Menangani Impak Media Sosial" serta pameran jabatan berkenaan.

Hadir sama Timbalan Pengarah IKBN Kinarut, Imran Entoh dan wakil Pengarah Penerangan Sabah, Wasrin Zakaria.

  • oleh
  • Advertisement