Anda di sini

Dua minggu berlalu, kehilangan Puteri Nurardiana mengundang misteri

Advertisement
 Anisah (kiri) bersama suaminya dan anak kedua mereka menunjukkan gambar Puteri Nurardiana yang masih belum ditemui pada telefon bimbit.
Anisah (kiri) bersama suaminya dan anak kedua mereka menunjukkan gambar Puteri Nurardiana yang masih belum ditemui pada telefon bimbit.

BINTULU: Sudah dua minggu berlalu, namun belum ada petunjuk baharu jejak Puteri Nurardiana Damia Qaisara Abdullah, 6, sejak kanak-kanak itu dilaporkan hilang dari rumahnya di Villa Adila, Lorong 3, Kampung Baru Laut di sini oleh keluarganya pada 28 September lalu.

Kehilangan kanak-kanak itu dianggap misteri oleh ibu, ayah dan ahli keluarga lain, namun mereka tetap berharap anak sulung itu akan ditemui dengan selamat dan berkeadaan baik.

Anisah Razali, 28, berkata tiada apa yang diharapkannya melainkan anaknya ditemui selamat dan hidup.

"Saya harap anak saya balik dalam keadaan selamat, sama ada hidup ataupun tidak memang harapan saya agar dia ada dan ditemui," ujarnya semasa ditemui Utusan Borneo di kediamannya di Kampung Baru Laut, semalam. 

Puteri Nurardiana sehingga kini belum ditemui.
Puteri Nurardiana sehingga kini belum ditemui.

Namun demikian, Anisah berkata masih menjadi tanda tanya pada dirinya dan ahli keluarga lain apabila Puteri Nurardiana hilang bersama botol susu dan bantalnya sekali pada jam 3.30 pagi ketika semua orang masih tidur.

"Semasa sedar dari tidur, saya mendapati anak saya tiada di tempat tidurnya, saya fikir dia pergi ke tandas membuang air kecil, tetapi bila dicari di tandas, (kelibat anak itu) tiada," jelasnya.

Anisah yang mempunyai dua anak lagi dan seorang daripadanya baru berumur sebulan satu minggu berkata, beliau bingung memikirkan kehilangan Puteri Nurardiana secara tiba-tiba dan tidak faham dengan apa yang sebenarnya berlaku.

"Kali terakhir saya melihat anak saya pada jam 2 pagi semasa anak saya itu menghantar kucing ke depan pintu bilik.

"Selepas itu dia masuk ke dalam bilik semula. Dia pun baring, saya pun (baring sama lalu) terlelap tidur balik. Saya terjaga pada jam 3.30 pagi (28 September) dan melihat anak saya tiada lagi di tempat tidurnya.

"Saya mencarinya di tandas juga tiada, saya mencarinya dari bilik ke bilik (di rumah) tetapi anak saya tidak ditemui.

"Terus saya keluar buka pintu depan rumah mencarinya di luar sambil memanggil namanya, sebelum saya mengejutkan semua ahli keluarga dalam rumah," katanya sambil menambah, anaknya itu tidur bersamanya sebelum hilang.

Anisah berkata, sejurus dimaklumkan, semua ahli keluarganya bertindak mencari Puteri Nurardiana tetapi gagal menemuinya.

"Saya tidak tahu macam mana anak saya boleh hilang begitu saja dan saya bingung memikirkannya apabila tiba-tiba anak saya tiada di tempat tidurnya.

"Saya pun tidak tahu apa yang berlaku dan pada tengah hari yang sama sekitar jam 12 tengah hari (28 September), saya dan keluarga membuat laporan polis," katanya.

Pada hari-hari biasa sebelum kehilangan itu katanya, Puteri Nurardiana ada membeli barang di kedai namun selepas itu balik semula ke rumah, malah jarang ke jeti berhampiran di kawasan Sungai Kemena.

"Kalau ada pun ke jeti sungai, dia akan ditemani orang dewasa," tambahnya.

Berhubung operasi pencarian bersama pihak berkuasa katanya, mereka telah mencari di sungai dan kawasan darat namun masih tidak menjumpai Puteri Nurardiana termasuk botol susu dan bantal yang dibawanya.

Ditanya lanjut sebelum kejadian itu, Anisah berkata, sebelum kehilangan anaknya itu, pintu depan rumah mereka pernah 'terbuka' sendiri dua kali sekitar jam 2 pagi.

"Anak saya juga pernah terjaga dari tidur terus berjalan ke tandas (ketika awal malam).

"Kebetulan bapanya sedang menggoreng telur di dapur dan menegurnya 'Nak ke mana?'. Anak saya umpama tersedar (dari lamunan) ketika berjalan ke tandas itu tanpa berkata apa-apa terus berpatah balik ke biliknya," katanya.

Berkenaan kawasan permainan, Anisah berkata biasanya anaknya bermain di dalam rumah sahaja.

"Kalau keluar rumah pun akan ditemani oleh saya. Sebelum keluar rumah anak saya akan minta izin... 'Mak, saya nak keluar nak beli?' Saya cakap... 'Ya, lepas beli mesti balik', jadi dia (mendengar kata) balik semula (ke rumah)," katanya.

Mengulas kejadian sama, abang Anisah, Rafi Razali, 32, turut hairan dengan kes kehilangan itu yang sukar untuk dirungkainya.

"Terlalu misteri, kalau dikatakan diculik orang, tidak juga, itu susah hendak dijelaskan. Lagipun anak itu memang jarang keluar rumah," tambahnya.

Sementara itu, ayah kanak-kanak terbabit, Cecep Saepuloh, 30-an, turut berharap Puteri Nurardiana kembali ke pangkuan keluarganya, berada dalam keadaan sihat serta mendoakan agar tiada apa-apa yang berlaku kepadanya.

"Saya harap Puteri Nurardiana sihat walafiat dan tiada apa-apa yang berlaku ke atasnya," katanya ringkas dalam keadaan berduka.

Terdahulu, laporan polis telah dibuat pada jam 12.10 tengah hari, 28 September lalu mengenai kehilangan Puteri Nurardiana dengan memperincikan ketinggian kanak-kanak itu adalah 120 sentimeter, berat 18 kilogram, berkulit cerah, rambut lurus paras bahu, berbaju ungu dan berseluar pendek merah.

Susulan laporan itu, operasi mencari serta menyelamat (SAR) telah dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Bintulu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Marin dan orang awam, namun menghadapi beberapa cabaran dan sukar menemui petunjuk kehilangan kanak-kanak terbabit.

Kehilangan mangsa turut dimaklumkan menerusi National Urgent Response (Nur) Alert yang turut disertakan dengan gambar mangsa serta nombor talian telefon bimbit pegawai polis yang perlu dihubungi iaitu Inspektor Diana (019-6369984) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu (086-318304) sekiranya ada maklumat susulan.

Dalam perkembangan berkaitan, SAR ke atas kanak-kanak terbabit telah dihentikan sehingga pihak berkuasa menemui petunjuk baharu seperti kenyataan media JBPM.

JBPM menghentikan operasi pencarian pada jam 5.05 petang Khamis, 3 Oktober setelah menerima arahan daripada polis seperti dipersetujui agensi yang terlibat dan ahli keluarga kanak-kanak terbabit sehingga penunjuk baharu ditemui.

Namun demikian, pihak polis akan meneruskan siasatan serta akan memaklumkan kepada setiap agensi sekiranya bantuan diperlukan.

  • oleh
  • Advertisement