Anda di sini

China buktikan kekuatan dengan kemenangan besar 7-0

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 Zon Asia di antara China dan Guam di Guangzhou, China. — Gambar AFP
PENUH SAINGAN: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 Zon Asia di antara China dan Guam di Guangzhou, China. — Gambar AFP

GUANGZHOU: Penyerang veteran Yang Xu menjaringkan empat gol dalam masa 25 minit sewaktu China menewaskan Guam 7-0 manakala Australia dengan mudah mengalahkan Nepal dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia bagi zon Asia kelmarin.

China mendahului 6-0 pada waktu rehat tetapi bergelut untuk meneruskan tekanan dan nyaris tidak dapat menjaringkan gol pada separuh masa kedua jika tidak kerana jaringan mengejut daripada Elkeson kelahiran Brazil, yang pada Ogos lalu menjadi pemain pertama yang bukan berketurunan China untuk dipilih menganggotai skuad kebangsaan.

Sementara itu Jamie Maclaren menjaringkan hatrik dalam kemenangan 5-0 Australia ke atas Nepal di Canberra.

Pasukan The Socceroos mensia-siakan beberapa peluang menentang pasukan pelawat yang menduduki ranking ke-161 tetapi bermain dengan pertahanan yang ketat dan mendominasi permainan sepanjang perlawanan.

Pasukan lawan mereka sudah kelihatan letih pada waktu rehat, dan hanya persembahan yang bersungguh-sungguh oleh penjaga gol Kiran Chemjong sahaja yang berjaya mengelak kekalahan yang lebih besar.

“Kami mencipta banyak peluang dan menjadi lebih kejam sedikit apabila ia diperlukan,” kata jurulatih Australia Graham Arnold selepas kemenangan terbesar oleh pasukannya di tempat sendiri dalam tempoh tiga tahun.

Maclaren dari kelab Melbourne City membuka jaringan pada minit keenam apabila Chemjong tidak dapat menangkap kemas rembatan dari tepi kotak penalti.

Dia menggandakan kelebihan pada minit ke-18 dengan tandukan dari Rhyan Grant.

Pemain yang julung kali bermain pada peringkat antarabangsa Harry Souttar menyusul lima minit kemudian dengan tandukannya sendiri ke dalam gol tetapi jaringan keempat yang berpotensi daripada Mathew Leckie beberapa saat sebelum waktu rehat menimbulkan kontroversi apabila ia dikatakan ofsaid.

Pasukan pelawat cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi jaringan sendiri sejurus sebelum minit ke-60 memburukkan lagi masalah mereka.

Maclaren menjaringkan gol ketiganya pada saat-saat akhir.

“Ia adalah waktu paling bangga bagi saya dalam jersi bola sepak,” katanya kepada Fox Sports, tetapi mengakui pasukannya mensia-siakan beberapa peluang mudah sepanjang perlawanan.

“Pada akhirnya kami menjaringkan lima gol tetapi melihat kembali, kami dapat menjaringkan lebih banyak lagi gol,” katanya.

Di Tehran, Karim Ansarifard menjaringkan empat gol, manakala Sardar Azmoun menyumbat tiga ketika Iran mengaibkan Kemboja 14-0.

Mehdi Taremi dan Mohammad Mohebi masing-masing menjaringkan dua gol manakala Morteza Pouraliganji, Mohammad Kanani dan Ahmad Nourollahi masing-masing menyumbat satu gol.

Antara 4,000 hingga 4,500 orang wanita menonton perlawanan bola sepak dengan bebas buat pertama kali sejak sekian lama, selepas FIFA mengugut untuk menggantung Iran berhubung sekatan stadiumnya yang kontroversi.

Penyokong wanita yang begitu teruja mengenakan bendera kebangsaan berwarna hijau, putih dan merah di atas bahu mereka dan di atas kepala mereka ketika mereka memasuki sebuah kawasan yang kecil dalam Stadium Azadi, Tehran.

Ada yang memakai topi sukan di atas tudung mereka manakala wanita lain menegcat wajah mereka dengan warga bendera negara.

Badan bola sepak dunia FIFA menyifatkan perlawanan kelmarin sebagai “satu langkah ke depan yang positif”.

“FIFA sekarang melihat lebih daripada selama ini ke arah masa depan apabila SEMUA gadis dan wanita yang ingin menonton perlawanan bola sepak di Iran adalah bebas untuk berbuat demikian, dan dalam persekitaran yang selamat,” katanya.

“Mereka tidak dapat berhenti atau berpatah balik sekarang.”

Sementara itu di Dhaka, Yusuf Abdurisag dan Karim Boudiaf menemui sasaran dalam setiap babak apabila Qatar, pasukan tuan rumah Piala Dunia 2022, menewaskan Bangladesh, manakala Oman dengan mudah mengatasi Afghanistan 3-0 di Seeb dengan Abdul Aziaz al-Muqabli yang menjaringkan dua gol.

Penyerang Kim Shin-wook menjaringkan empat gol dalam kemenangan 8-0 Korea Selatan ke atas Sri Lanka manakala Jepun menang 6-0 ke atas Mongolia.

Arab Saudi mengalahkan Singapura 3-0, Emiriah Arab Bersatu (UAE) membelasah Indonesia 5-0, Uzbekistan menumpaskan Yaman 5-0 dan Iraq menang 2-0 ke atas Hong Kong. — AFP

Advertisement