Anda di sini

Buang muatan rokok, penyeludup pecut bot masuk sempadan negara jiran

Advertisement
 Pegawai Pemerintah PPM Tawau DSP Mohd Nazari Ismail dan anggotanya menunjukkan kepada media rampasan rokok yang berjaya direkodkan.
RAMPASAN: Pegawai Pemerintah PPM Tawau DSP Mohd Nazari Ismail dan anggotanya menunjukkan kepada media rampasan rokok yang berjaya direkodkan.

TAWAU: Seorang penyeludup menjatuhkan muatan rokok dari botnya sebelum meluncur laju memasuki perairan negara jiran, sebagai taktiknya mengelak daripada dapat dikejar.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, selepas suspek bolos ke negara jiran, anggotanya mengutip rokok-rokok terbabit.

“Hasil pemeriksaan, kita menemukan rokok kretek Menara International (760 karton) dan Ares (65 karton) yang keseluruhannya bernilai lebih RM82, 500 termasuk cukai,” katanya.

 Penyeludup didapati meninggalkan kotak-kotak rokok dari botnya dalam usaha meloloskan dirinya daripada ditangkap pasukan penguatkuasa PPM Tawau.
TERAPUNG: Penyeludup didapati meninggalkan kotak-kotak rokok dari botnya dalam usaha meloloskan dirinya daripada ditangkap pasukan penguatkuasa PPM Tawau.

Pajeri berkata, pada mulanya kehadiran suspek disedari dalam Operasi Gelora Khas yang mula dijalankan hasil maklumat risikan di kawasan perairan Icebox kira-kira jam 2 pagi.

 Menurutnya, operasi itu tertumpu kepada aktiviti penyeludupan rokok yang diseludup masuk ke Malaysia melalui perairan Tawau dari negara jiran, Indonesia, dan Filipina.

“Kira-kira jam 4 pagi, sebuah bot mencurigakan dikesan cuba menghampiri kawasan darat, namun suspek menukar haluan dan meluncur laju sebaik menyedari kehadiran kita.

“Semasa kumpulan serbuan mengejar, suspek dilihat menjatuhkan muatan barang ke laut dan tidak dapat ditangkap kerana botnya sudah memasuki perairan Indonesia,” katanya.
 
Mengulas lanjut, beliau berkata kesemua muatan barang yang dijatuhkan oleh suspek ke laut sudah diambil oleh anggota PPM Tawau yang bertugas untuk pemeriksaan lanjut.

 Anggota PPM Tawau mengutip kotak-kotak rokok yang ditinggalkan oleh suspek sebagai bahan bukti.
KUTIP: Anggota PPM Tawau mengutip kotak-kotak rokok yang ditinggalkan oleh suspek sebagai bahan bukti.

Hasil pemeriksaan seterusnya yang dijalankan mendapati semua barang yang dijatuhkan oleh suspek adalah rokok pelbagai jenis yang dipercayai diseludup masuk ke Malaysia.

”Semua rampasan kemudiannya dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Tawau dan tindakan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement